Friday, 7 September 2012

Pengertian Kaum Tua & Kaum Muda

Link


Sudah berlarut-larut kita bicara “Kaum Tua, Kaum Muda”. Padahal, menurut ilmu manthiq, hendaklah sebelum membicarakan sesuatu masalah, kita membuat had atau jangka ukuran daripada sesuatu perkataan supaya (kita) dapat meletakkan tasyawwur dan tasdiqnya. Maka, jika kita lihat kepada perintah, amatlah kabur perbatasan Kaum Muda itu.


Orang yang dilabel Kaum Muda pada umumnya hendak kembali kepada hulu agama iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w., sedang Kaum Tua hendak bertahan kepada taqlid kepada para ulama’ yang datang di belakang.


Kaum Muda memegang Mazhab asy-Syafie yang asli iaitu “iza sahh-al-hadis fahuwa mazhabi” (apabila sahih sesuatu hadis, itulah mazhabku), sedang yang dikatakan Kaum Tua setia memegang (kutub) al-Tuhfah, al-Nihayah dan al-Minhaj yang dikarang orang ratusan tahun di belakang Syafie sendiri.


Kalau kita lihat keadaan dan kita bandingkan dengan namanya dalam bahasa lain, nyatalah salahnya pengertian ini. Yang dikatakan Kaum Muda sekarang itulah yang sepatutnya disebut Kaum Tua.


Al-Quran memberi kebebasan berfikir (dengan firman-Nya), “afala tatafakkarun” (tidakkah kamu berfikir?!) dan menggunakan akal (dengan firman-Nya), “afala ta’qilun” (tidakkah kamu beraqal?!). Rasulullah s.a.w. (pun) demikian pula. Imam-imam yang empat (turut) melarang taqlid. Golongan yang disebut Kaum Muda itu berpegang dengan yang demikian.


Padahal golongan yang disebut Kaum Tua berpegang dengan qala (berkata) al-Ramli, qala ar-Rafie, qala Ibnu Hajar!


Menurut lughah yang dipakai dalam Bahasa Inggeris, golongan yang berpegang pada pokok yang asal itu disebut “orthodox” (yang) ertinya golongan tua.


Menurutu lughah yang dipakai dalam Bahasa Arab, (orthodox) dinamakan (sebagai) “Mazhab Salaf” dan salaf itu ertinya nenek moyang yang dahulu kala. Lawannya ialah khalaf.


Di Mesir, golongan Muhammad ‘Abduh dinamakan (sebagai) Mazhabu-s-Salaf. Orang-orang Wahhabi di Tanah Arab (meminta) supaya diri mereka juga (dikenali sebagai) Mazhabus-s-Salaf; ertinya kesemuanya (ialah) “Kaum Tua”.


Inilah suatu pengertian yang salah yang berlaku di negeri kita selama 50 tahun.


Maka, tukang-tukang bid’ah, tukang khurafat, tukang menambah-nambah tiang agama di atas tiangnya yang asli sepatutnya digelarkan Kaum Muda. Dan yang hendak langsung berpegang dengan asal dan hulu agama, sepatutnya digelar Kaum Tua!


Dan Kaum Tua dan Kaum Muda di Indonesia, Malaya dan Siam sudah bertaqlid saja kepada erti yang salah 50 tahun lamanya.

Link

Adapun saya sendiri tidaklah keberatan didakwa (sebagai) Kaum Tua sebab yang paling tua di dalam Islam ialah al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. yang muthi’ah dikatakan Kaum Muda pun boleh sebab telah terbiasa begitu.


Tetapi, jika saya dikatakan (sebagai) orang Islam saja, tidak Kaum Tua, tidak Kaum Muda, itulah yang lebih baik. Saya sefahaman dengan pangkal kata mufti (bahawa) tidak ada berkaum-kaum seperti itu di dalam asal Islam.


Kaum Muda (dan) Kaum Tua pun tidak dapat diukur pada umur.


Ada seorang tua yang umurnya telah 90 tahun dan wafat di dalam usia lebih 90 tahun. Di dalam usia setua itu, dia masih mengeluarkan “Risalah Penebas Ke Atas Bid’ah-Bid’ah Di Kepala Batas” yang isinya menegakkan Sunnah Rasulullah s.a.w. Dialah asy-Syaikh Tahir Jalaluddin.


Ada (pula) seorang pemuda di bawah umur 20 tahun, padahal dia tidak mahu berpegang kepada Sunnah Rasulullah s.a.w.! Dia hanya berkeras mempertahankan apa yang telah diterima daripada nenek moyangnya! Tak mahu berganjak!


Siapakah antara kedua-duanya yang Kaum Tua? (Dan) siapa (pula) yang Kaum Muda?


Oleh sebab itu, pada hakikatnya, tidaklah ada faedahnya kita memakai segala gelaran atau nama yang akan mendatangkan ragu-ragu atau perpecahan, sebagaiman sabda Tuhan di dalam al-Quran, “wala tanabazu bi-l-alqab”, ertinya janganlah kamu bersenda-senda pada gelaran-gelaran.


Dan kadang-kadang, saya melihat pujian Rasulullah s.a.w. kepada Kaum Muda, iaitu anak-anak muda yang hatinya terpaut teguh kepada masjid. Sebelum masuk waktu, dia telah i’tikaf.


Kadang-kadang, saya lihat pula pujian kepada Kaum Tua, bahkan (kepada) perempuan tua. Baiklah beriman dengan “iman-ul-a’jaiz”, kata Rasulullah s.a.w.! Iman perempuan tua yang dengan tunduk tafakur mendengar pelajaran dan tidak berpaling kepada yang lain!


Kadang-kadang saya melihat orang berani dan gagah memperdebatkan agama. Dia menyelidik sesuatu hukum. Kata orang, hukum (bagi perkara) itu adalah haram. Dan menurut penyelidikannya, (hukumnya) hanyalah makruh. Sebab hanya makruh, lalu dikerjakannya. Dan kata orang, satu perkara lain hukumnya wajib. Menurut penyelidikannya, hukum (perkara) itu hanya sunat. Oleh sebab hanya sunat, (perkara itu) tidak dikerjakannya lagi. Pendeknya, sejak dia pandai berhujah, agamanya (menjadi) ringan!


Kadang-kadang, saya melihat penduduk kampong yang teguh bergama. Dipimpin oleh lebai di kampong itu bersungguh-sungguh menjaga waktu (solat) yang lima. (Seawal) pukul lima pagi, tabuh (bedok) sudah dipukul, memanggil orang solat. Lelaki, perempuan semua berduyun-duyun datang ke surau.


Maka terjadilah perpecahan di kampong itu kerana datang seorang pemuda mengatakan bahawa tabuh itu adalah bid’ah, tidak berasal dari Rasulullah s.a.w.


Kadang-kadang, orang bertengkar, adakah melafazkan usolli itu bid’ah atau sunat. Tetapi, orang tidak berupaya lagi memanggil umat yang masih bernama Islam, yang bukan saja menegakkan usolli, tetapi telah meninggalkan solat sama sekali!


Selama kita bertengkar-tengkar, ber-Kaum Tua ber-Kaum Muda, agama kita telah diserang dari segala penjuru. Kita banyak melihat al-‘alimin ghafilin (orang alim yang lalai) dan melihat pula al-jahilin al-munsikin (orang bodoh yang kuat beribadah); hal ini belum kita tilik (teliti)!


Kadang-kadang, kita telah berdengki-dengkian sehingga musuh mudah benar memecah-belahkan kita. Apa guna ber-Kaum Tua, apa guna ber-Kaum Muda. Ber-Kaum Muslimin saja lebih baik!


SUMBER:
HAMKA, Sebuah Polemik Agama: Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor, hal. 97-100


"Kita akan dapat bersatu atau hormat-menghormati walaupun fahaman berbeza-beza asalkan kita berhati terbuka dan tidak hendak menang sendiri saja."

-HAMKA-


p/s: Berminat untuk mendapatkan buku ini? Sila membuat tempahan di sini. =J

No comments:

Post a Comment