Link |
Berpindah ke Jakarta
Pada pertengahan bulan Mac 1942, menyerahlah tentera Belanda dengan tidak bersyarat kepada tentera Jepun. Tentera Jepun pun masuk lah ke seluruh Pulau Jawa dengan tidak dapat dihambat lagi. Beliau (Dr H. Abdul Karim Amrullah iaitu ayah HAMKA) sendiri menyaksikan kejatuhan Belanda dan kenaikan Jepun di negeri buangannya di Sukabumi itu.
Oleh kerana keadaan nampaknya mulai aman, maka pada bulan April, sebulan sesudah Jepun menduduki Indonesia, datanglah pencinta-pencinta beliau dari Jakarta, mengajak beliau supaya berpindah ke Jakarta. Kalau beliau ingin pulang ke kampong, boleh diusahkan selekasnya pulang. Dan kalau belum ada kemungkinan pulang, beliau boleh tinggal di Jakarta dalam penjagaan murid-murid dan pencinta-pencintanya yang banyak mendiami Jakarta.
Maka, setelah Sembilan bulan mendiami Sukabumi (dalam buangan Belanda), dan tidak pernah sekali pun mendapat onderstand (wang pembiayaan) yang dijanjikan Belanda; berbekalkan bantuan pelajar-pelajarnya, beliau pun berangkatlah ke Jakarta, meninggalkan Kota Sukabumi yang telah dicintainya dan mencintainya itu.
Meskipun beliau telah berpindah ke Jakarta, namun murid-muridnya di Sukabumi tetap juga datang menziarahi beliau di Jakarta, kerana teringat bagaimana mendalamnya pendidikan iman yang beliau ajarkan selama mendiami Sukabumi.
Mulanya beliau tinggal di Gang Alhambra Sawah Besar. Beberapa waktu kemudian, beliau pun berpindahlah ke Gang Kebon Kacang IV No. 22 di Tanah Abang. Isterinya, Dariyah (ibu tiri HAMKA) dan putera bongsunya, Wadud mengikut beliau dan menjaga beliau dengan sangat setia.
Maka, tidaklah berhenti muridnya mengerumuninya, terutamanya setelah beliau tinggal di Tanah Abang. Dan tidak pula berhenti-berhenti pemimpin-pemimpin rakyat menziarahi beliau. Penduduk Tanah Abang lekas mengenali beliau dan lekas pula beliau dicintai penduduk di sana. Kepada beliau, dipanggilkan “abuya”, dan kepada isterinya dipanggilkan “ummi”.
Nama beliau sebagai seorang ulama yang sangat bermusuhan dengan Belanda sehingga diasingkan (dibuang negeri) lekas sampai ke telinga bangsa Jepun. Tentu sahaja Jepun berusaha hendak mendekati dan mengadakan hubungan dengan beliau. Maka, tidaklah sunyi-sunyinya Jepun mendatanginya. Nama beliau lekas disiarkan oleh Jepun dalam surat khabar-surat khabarnya; dimahsyurkan ke seluruh Asia Timur Raya.
Ketika itu, Jepun sedang mencari hubungan dengan pemimpin-pemimpin rakyat. Ketika itu, timbullah “Pemimpin Empat Serangkai” iaitu Ir. Sukarno, Drs. Mohammad Hatta, Ki Hajar Dewantara, dan K.H. Mas Mansur, pemimpin PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat).
Sedang beliau (ayah HAMKA) diangkat menjadi penasihat dari Pusat Kebudayaan, anggota dari Pusat Pembantu Perajurit dan Penasihat dari Pusat Keagamaan (Syambu).
Link |
Segala jawatan itu tidaklah beliau tolak pada mulanya. Beliau pun diangkat menjadi guru kepada Latihan Ulama’ seluruh tanah Jawa yang diadakan oleh MIAI yang kemudiannya ditukar menjadi Masyumi. Semuanya disanggupinya. Jepun amat berbesar hati kerana mendapat ulama’ sebesar itu.
Maka, untuk mencukupkan propagandanya, pada tahun 1943, bertempat di Bandung, diadakan satu pertemuan para ulama’ seluruh tanah Jawa; sebagaimana pertemuan ulama’ Sumatera dan Malaya yang diadakan di Singapura.
Beliau diberi penginapan di Hotel Homan, hotel yang pada zaman Belanda hanya menjadi penginapan kaum penjajah Belanda sahaja; sebagaiman Hotel Des Indes di Jakarta.
Pertemuan diadakan di Kabupaten Bandung. Alim ulama’ yang ternama dari seluruh tanah Jawa boleh dikatakan lengkap hadir. Buat beliau, diberikan penghormatan istimewa. Beliau diberi tempat duduk bersama-sama dengan Kakka-kakka Jepun yang bergantungan di pinggang mereka pedang samurai, sambil menghadap sekalian ulama’ yang banyak itu. Dengan kata mudah, beliau diangkat menjadi “Penasihat Tinggi”; sebagaimana jawatan yang diberikan kepada Syaikh M. Jamil Jambik di Bukit Tinggi.
Maka, perjumpaan pun bermula. Tentu sahaja isi perjumpaan tidak akan lebih daripada mengambil suara ulama’, bersama menyatakan taat setia dan kerjasama dengan pemerintahan bala Tentera Diraja Nippon dan taat kepada Tenno Heika.
Sebelum perjumpaan bermula, ia hendaklah dibuka dengan upaca “Sei Keirei” iaitu menghadap (dengan gaya ruku’) ke Istana Diraja Tenno Heika di Timur Laut. Upacara ini adalah “rukun” yang wajib dilakukan sebelum bermulanya segala perjumpaan.
Semua orang pun berdiri. Seorang Komanda menjerit, “Sei Keirei!”, lalu semua menekur ruku’ menghadap ke istana. Semua serban, semua jubah, semuanya berdiri!
Hanya seorang tua yang kurus, tapi matanya menyinarkan iman yang panas dan hati yang waja; hanya dia seorang sahaja yang duduk, tidak ikut berdiri iaitu Dr H. Abdul Karim Amrullah (ayah HAMKA), walaupun di kiri dan kanannya berbaris Jepun yang lengkap berpedang panjang semuanya!
Ganjil suasana perjumpaan sesudah komanda “naure” (ertinya menyuruh mengangkat kepada kembali dan menyuruh duduk). Semua mata memandangnya dengan penuh cemas dan mempunyai beberapa makna; mata alim ulama’ yang insaf bahawa perbuatan mereka salah, atau mata alim ulama’ berasa kecilnya jiwa dan lemahnya imana mereka kerana turut ruku’. Demikian juga mata-mata Jepun yang tercengang kehairanan mengapa yang satu ini tidak turut berdiri?
Sehabis upacara itu, beliau pun berdiri dan berkata (sebagaimana yang diceritakan oleh saudara Aoh Kartahadimaja),
“Tuan-tuan ulama’ yang mulia! Memegang dan
mempertahankan pendirian dan keyakinan tidaklah selalu membawa bahaya. Bahkan,
asal kita tetap tawakkal kepada Tuhan, bukan bahaya yang akan menimpa, tetapi
mungkin menguntungkan. Janganlah hanya mengingat bahaya, tetapi inngat pulalah
akan keuntungan itu.
Cubalah lihat sikap saya tadi. Saya tetap duduk
sekali-kali bukanlah kerana ingin menentang pemerintah Saudara Tua kita, Dai
Nippon. Melainkan kerana taat kepada ketentuan Allah. Allah lah yang melarang
saya turut melakukan upacara ruku’ kepadanya yang selain Dia.
Cubalah tuan-tuan lihat sekarang. Paduka Tuan Kolonel
tidaklah kecewa kepada saya kerana saya tetap berpegang tehuh kepada keyakinan
agama saya. Sebab beliau pun orang yang taat setia pula kepada agamanya
sendiri.”
Pada hari itu, belum ada sebarang pertanyaan dari pihak Jepun kepada dirinya. Sebaliknya, beliau tetap dihormati, malah lebih dihormati; walaupun penghormatan yang sudah tentu sehaja lain ertinya. Padahal, tujuan asal Jepun “mengangkat” beliau adalah untuk “mendesak” kebudayaan Jepun ke dalam tanah tauhid ini.
Para ulama’ pun banyak yang datang menziarahi beliau sesudah perjumpaan itu, bagi menyatakan cinta dan hormat sepenuh hati. Ada yang mencium tangannya kerana sangat cinta. Dengan serta merta, tersebarlah khabar ini ke seluruh dusun dan kota di tanah Jawa.
Dalam saat yang hanya setengah minit itu, beliau telah menyatakan pendirian Islam yang sebenarnya terhadap Kerajaan Musyrik. Sepertimana yang dinyatakan oleh Drs. Mohammad Hatta, dalam setengah minit itu, tercatatlah beliau sebagai,
“Ulama’ yang mula-mula sekali menyatakan Revolusi Jiwa
kepada Jepun di Indonesia!”
Sepatutnya, perjalanan akan diteruskan sehabis perjumpaan itu ke kota lain, sebab beliau akan dijadikan alat propaganda. Tetapi, lantara kejadian itu, beliau pun “dengan segala hormatnya” dibawa pulang kembali ke Jakarta.
Sesungguhnya beratlah dalam perasaan para ulama’ dalam menghadapi soal sei keirei ini. Tidak ada ulama’ yang sebenar ulama’ yang mahu menerima sei keirei ini.
Ketika Jepun mengadakan pertemuan ulama’ di Singapura, Syaikh Taher Jalaluddin telah menyatakan kepada beberapa ulama’ supaya soal sei keirei ini diperkatakan, tetapi tidak ada yang berani. Apatah lagi apabila pertemuan tersebut semuanya diatur oleh Jepun sendiri; tidak boleh dilebih-lebih.
Dan segala pertemuan harus dihadiri Jepun. Di pondok ulama’ pun dihadirkan beberapa orang Jepun. Ada juga yang mengatakan mereka telah memeluk Islam.
Syaikh Taher ketika diadakan pertemuan di Singapura, terpaksa juga berdiri, tetapi diisyaratkan sahaja kepalanya ke bawah sedikit, sambil mengucapkan,
“Astaghfiruka ya Rabb…” (Aku memohon ampun kepada-Mu,
wahai Tuhan)
Sesetengah ulama’ lagi dengan lantas menjauhkan diri. Antaranya ialah Syaikh Mahmud Khayath di Medan, A. Hassan di Bandung, Syaikh Daud Rasyidi di Sumatera Barat. Maka, terlepaslah diri mereka sendiri.
Tetapi, ulama’ lain seperti Syaikh M. Jamil Jambek, Sutan Mansur, Syaikh Sulaiman ar-Rasuli dan berpuluh-puluh ulama’ lagi terpaksa berada dekat dengan Jepun. Tetapi, tidak ada yang sampai tunduk kepalanya kepada batas ruku’. Dalam pada itu, mereka mengomel juga di dalam hati.
Di sinilah keistimewaan beliau. Di tempat umum, di hadapan ramai ulama’, di saat bahaya kempeitei sangat mengancam, di saat banyak pemimpin yang “hilang” sahaja kerana dituduh anti-Nippon, dengan iman yang penuh dan berserah kepada Allah, beliau tidak berdiri dan tidak ruku’. Satu sejarah yang gilang-gemilang!
Link |
Setelah beberapa hari kembali ke Jakarta, kerana rupanya telah insaf kekuatan apa yang tersimpan di dalam jiwa kaum Muslimin, maka datanglah kepadanya Kolonel Hori yang disebut Kepala Urusan Agama itu.
Rupa-rupanya telah dicetak satu buku bernama “Wajah Semangat” yang dikarang oleh seorang ahli kebudayaan Jepun. Buku itu penuh berisi puji-pujian kepada Kaisar Jepun dan menyatakan bahawa kaisar itu adalah “Tuhan Yang Maha Kuasa” yang menganugerahkan kehidupan bagi kepulauan Yamato, keturunan kepada Sang Matahari yang bernama Ameterasu Omikami.
Buku itu dibawa oleh Kolonel Hori kepada beliau dan diminta pertimbangannya dan perbandingannya dengan kepercayaan agama Islam. Setelah buku itu diterimanya dan dibacanya, datanglah kembalai Kolonel Hori itu bagi menanyakan buah fikirannya terhadap buku itu dan perbandingannya dengan kepercayaan agama Islam. Lalu, beliau berkata,
“Saya suka menyatakan pendapat saya dalam agama Islam
terhadap buku ini. Tetapi, dengan syarat tuan berjanji jika saya menerangkan
perkara yang sebenarnya, saya tidak akan diganggu dan jiwa saya tidak akan
terancam.”
“Jangan cemas tuan doktor. Saya jamin!”
Kata
Kolonel Hori.
“Kalau begitu, biar saya tulis.”
Jawab
beliau.
Lalu, beliau tulislah satu risalah kecil membantah kepercayaan Jepun yang dikarang oleh S. Oze di dalam buku “Wajah Semangat” itu, lalu diterangkannya pula kepercayaan Tauhid Islam. “Ketuhanan” Tenno Heika itu dibantahnya sekeras-kerasnya dengan sikap yang berani.
Ketika M. Zain Jambek dan Asa Bafagih disuruh supaya disalin kembali tulisannya kepada huruf latin, kedua-dua orang pemuda yang telah menganggapnya sebagai ayah kandung mereka ini meminta dengan sangat supaya beberapa kepercayaan Islam yang beliau terangkan itu yang mana ianya sangat bertentangan dan menyinggung kepercayaan Jepun supaya “dilunakkan” sedikit.
Dengan keras, beliau bertahan dan melarang sekeras-kerasnya daripada diubah maksudnya itu,
“Yang kalian minta lunakkan itulah yang sebenarnya isi
buku.”
Kata
beliau.
Setalah salinan itu selesai, lalu datanglah Kolonel Hori menjemputnya. Setelah dilihatnya (buku itu), ternyata sangat bertentangan dengan maksud “serangan” budaya Jepun (ke atas masyarakat Muslim di Indonesia). Maka, tahulah dia akan isi kepercayaan kaum Muslimin.
Tidak lama kemudian, Kolonel itupun kembali ke Tokyo dan meninggalkan beberapa orang Jepun yang diberikan nama-nama Islam; entah Islam entah tidak, wallahu a’lam. Dan pengarah pejabat urusan agama diserahkan kepada putera Indonesia sendiri iaitu Porf. Dr. Husain Jayadinigrat.
Selang beberapa lama sesudah ahli pengetahuan yang mahsyur ini (Dr Hussain) menjawat pangkatnya itu, saya sempat menziarahinya di pejabatnya, sambil ditemani oleh Tuan H. Mukhtar Yogya. Dr Hussain berkata,
“Sekarang, rupa-rupanya pemerintah Dai Nippon telah
mengerti bahawa “Sei Keirei” itu berlawanan dengan kepercayaan Islam. Sebab
itu, maka sekarang, dalam pertemuan-pertemuan kaum Islam, tidak dimestikan lagi
upacara sei keirei itu.”
"Ulama
tidak boleh hanya duduk-duduk tafakur dalam suraunya sambli mengeleng-gelengkan
kepala…lalu membilang-bilang tasbih kayu mati. Ulama’ harus tampil ke muka
masyarakat, memimpinnya menuju kebenaran. Dan itulah kewajipan kami! Buat itu,
kami bersedia mati!"
- Dr. Haji Abdul Karim Amrullah -
p/s: Sesiapa sahaja yang mengenali HAMKA seharusnya mengenali insan yang paling banyak mempengaruhi pola pemikiran ulama' besar nusantara ini iaitu ayah beliau sendiri, Haji Abdul Karim Amrullah (Haji Rasul). Setelah membaca semi-novel "Ayahku", tidaklah salah jika dikatakan bahawa beliau selayaknya digelar mujaddid (pembaharu agama) atau syaikh-ul-Islam (ketua ulama') bagi seluruh ulama' di Indonesia mengenangkan besarnya pengaruh dakwah salafiah yang beliau perjuangkan di Indonesia. Buat sesiapa yang berminat untuk mendapatkan novel ini, anda boleh membuat tempahan melalui link ini. Selamat membaca. =J
No comments:
Post a Comment