Link |
Dinyatakn
pula (oleh Kaum Muda) bahawa memakai dasi (necktie) tidak haram. Lalu, timbul
bantahan yang keras dari Kaum Tua (yang mengatakan bahawa memakai) dasi (itu)
haram!
Timbul
pula pendapat Kaum Muda bahawa memakai serban itu tidaklah wajib, hanyalah
kebiasaan saja. Maka, oleh kerana telah terbiasa orang memakai serban, orang
pun marah.
Campur
pula orang awam, keadaan bertambah heboh! Lama-kelamaan, telah ramai orang
memakai dasi, walaupun (dari kalangan) Kaum Tua. Telah ramai yang tidak
berserban, walaupun Kaum Tua!
Terjadi
pula satu hal yang lucu dan jenaka di salah satu Kerajaan Melayu di Sumatera
Timur. Seorang ulama’ di sana, kerana teramat marah kepada Kaum Muda, lalu
(beliau) mengharamkan dasi.
Hal
itu terjadi pada tahun 1917, sedang beliau berfatwa dengan memakai alasan
hadis:
“Barangsiapa
yang menyerupai sesuatu kaum, maka adalah dia daripada kaum itu.”
Tiba-tiba,
masuklah ke dalam majlis itu Tuanku Sultan dan ke-Bawah Duli (Sultan) memakai
dasi. Sebentar itu juga keluar hujung hadis itu, ditambah oleh kebijaksaan
syaikhuna al-fadhil, “illa lihajati” (kecuali ada hajat)!
Jadi,
ada rupanya hukum-hukum ini hanya istimewa dibikin untuk menghentam Kaum Muda.
Wa yahrumu ‘ala Kaum Muda (dan diharamkan ke atas Kaum Muda), wayandub ke-Bawah
Duli (dan disunatkan kepada Sultan)!
Ah,
misal itu sudah lama, sudah 40 tahun. Dan kejadian (itu berlaku) di Sumatera;
bukan di Malaya, dan bukan di Johor! Johor tidak begitu!
Maka,
pengalaman kita sejak 50 tahun patutlah menjadi iktibar (buat) kita sekarang.
(Sudah) banyak isi kitab yang tersembunyi dikeluarkan. Dan banyak tumbuh
masalah baru yang hendak kita qiyasi dan kita tapis.
Jangan
marah, tetapi telek (teliti) baik-baik. Bicarakan dengan tenang. Kerana kalau
disambut hanya dengan marah, tentu yang mengeluarkan pendapat itu marah. Campur
pula orang awam, maka bahas berganti jidal (debat), lalu tumbuhlah permusuhan!
Pengalaman
50 tahun (lalu) jadi pengajaran bagi kita. Hanya kucing saja yang tidak berubah
kerana pengalaman walaupun bermuqim di Makkah 20 tahun.
Memang
ada juga yang tidak suka berebut-rebut, jangan dibuka masalah baru, biarkan
orang ditinggal bodoh seperti dahulu, dan kalau ada fatwa dari mufti, hendaklah
diterima dengan “na’am” (ya)! Tetapi, orang (seperti) itu sudah sangat jauh
ditinggalkan keretapi!
Cubalah
fikir, di pondok-pondok, di surau-surau, di madrasah-madrasah diajarkan Bahasa
Arab. Lama-lama, murid-murid itu telah pandai pula membuka kitab.
Dan
kitab-kitab seluruh mazhab (bukan Mazhab Syafie sahaja) telah dicetak dan
dijual murah, tidak ditulis tangan lagi! Bahkan kitab-kitab karangan Ibnu Hazm
al-Andalusi az-Zahiri pun dicetak. Kitab-kitab Ibnu Taimiyyah, kitab
Ibn-ul-Qayyim, kitab Muhammad bin Abdul Wahhab, kitab Amir Shan’ani, kitab al-Imam
Syaukani dapat dibeli, dapat ditempah.
Sedang
kitab ulama’ tua hanyalah “at-Tuhfah an-Nihayah”, “al-Minhaj”, “Qalyubi”, dan
“’Umairah”.
Tentu
saja keluar pendapat-pendapat yang zahirnya baru kerana baru dibuka dan
hakikatnya, telah lama kerana lama tersimpan.
SUMBER: HAMKA, Sebuah Polemik Agama: Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor, hal. 48-50
"Berfikir
adalah tanda hidup, berlainan pendapat adalah alamat ada kemajuan pada diri
kita.
Kita
bersatu pada urat dan pohon kayu. Adapun jika banyak cabang kayu, itu adalah
alamat suburnya."
-HAMKA-
p/s: Berminat untuk mendapatkan buku ini? Sila membuat tempahan di sini. =J
No comments:
Post a Comment