Link |
Kata orang, kami tidak menghormati
ulama’. Sebab mereka telah memasukkan pula sebuah lagi tiang baru ke dalam
Islam iaitu wajib menghormati ulama’. WAJIB TAQLID KEPADA ULAMA’! Wajib taat
kepada guru.
Hal ini akan saya huraikan dengan
saksama; Kaum Muda amat hormat kepada ulama’. Kaum Muda insaf bahawa
pengetahuan yang kita dapat sekarang ini, mana mungkin sampai ke tangan kita
kalau bukan lantaran (pengorbanan) ulama’.
Kami sangat patuh kepada ulama’
ikutan kita yang empat (iaitu) Imam Malik, Imam Syafi’i, Imam Abu Hanifah dan
Imam Ahmad Bin Hanbal.
Demikian cinta dan hormat kami kepada
mereka sehingga kalau ada ulama’ yang menjadi pengawal di luar yang cuba
mengahalang kami daripada bertemu dengan pendapat-pendapat mereka, kami sirwak
(memalukan) ulama’ itu dan kami berkata,
“Ke tepilah engkau! Kami mahu bertemu
dengan beliau!”
Maka bertemulah kami dengan kata-kata
Al-Imam Malik,
“Semua orang dapat diterima
kata-katanya (pandangannya) dan dapat ditolak, kecuali kata-kata yang empunya
maqam ini!”
(lalu beliau menunjukkan ke arah maqam Nabi s.a.w)
Kami amat taat setia kepada nasihat
beliau itu. “Semua orang” menurut beliau, dalam “semua orang” itu termasuk
(pandangan dan kata-kata) beliau sendiri (boleh diterima atau ditolak)!
Maka, bertemulah kami dengan
kata-kata Imam Syafi’i,
“Kalau bertemu hadis yang sahih, maka
itulah mazhabku.”
Maka, taatlah kami kepada nasihat
beliau itu. Kami cari hadis-hadis yang sahih. Maka, dengan sendirinya Kaum Muda
yang suka mengambil hadis yang sahih itu diakui oleh Imam Syafi’i sebagai
pengikut mazhabnya; walaupun diusir oleh Kaum Tua!
Bertemu pula kami dengan pedoman yang
diberikan oleh Imam Abu Hanifah. Kata beliau,
“Jika bertemu Al-Quran dan Sunnah
Rasulullah s.a.w. aku tunduk dan aku patuh. Jika bertemu atsar sahabat, aku
timbang baik-baik. Tetapi jika berkata yang selain (daripada itu), mereka
lelaki dan aku pun lelaki!”
Imam Abu Hanifah mengajar kami
keberanian!
Kami teruskan perjalanan menuju Imam
Ahmad Bin Hanbal. Beliau pula berkata (dengan nada yang) lebih tegas,
“Jangan taqlid kepada aku. Dan jangan
pula taqlid kepada (Imam) Malik. Dan jangan (taqlid) kepada Al-Tsauri. Dan
jangan (taqlid) kepada Al-Auza’i, dan ambillah dari mana mereka mengambil (Al-Quran
dan Sunnah).”
Keempat-empatnya menyuruh kami
meneruskan perjalan ke atas (iaitu) ke hulu agama (iaitu) kepada Al-Kitab
(Al-Quran) dan Al-Sunnah dan keterangan-keterangan yang diberikan oleh
orang-orang yang terdekat kepada baginda s.a.w iaitu sahabat-sahabat Rasulullah
s.a.w.
Tetapi, tatkala kami masih di muara,
banyak benar yang menghalangnya. Datang syaikh fulan yang sudah jauh di bawah
mutakkhirin; bahkan mutaakhiril mutaakhirin melarang keras! Jangan pergi ke
hulu! Jangan! Haram! Haram! Padahal kami tidak mahu dihalang lagi. Maka
dituduhlah kami sesat. Siapa yang sesat?
Kalau hendak mencari siapakah yang
paling taat memegang pimpinan keempat-empat mazhab, jawabnya ialah Kaum Muda.
Dan kalau hendak ditanya siapakah yang betul-betul memegang petunjuk Muhammad
Bin Idris, pengasas mazhab Syafi’i, jawabnya jelas (iaitu) Kaum Muda.
Kaum Tua menyatakan zaman sekarng
tidak boleh berijtihad lagi kerana sudah berlalu jauh daripada zaman Rasul
s.a.w. Mustahil dapat berijtihad sekarang.
Kaum Muda menjawab, sekarang lebih
mudah…kalau ada kemahuan. Sekarang semua kitab hadis telah dicetak dan boleh
dibeli di pasaran…kalau mahu. Sekarang, kitab-kitab semua mazhab telah dicetak.
Semuanya mempermudahkan kerja…kalau mahu.
KAUM TUA MEPERTAKUT-TAKUTKAN: “NANTI
SALAH”
Nabi Muhammad s.a.w menimbulkan
keberanian,
“Siapa berijtihad dan benar hasil
ijtihadnya, dapat dua pahala; pahala berijtihad dan pahala benar. Siapa
berijtihad tetapi salah hasil ijtihadnya, dapat satu pahala iaitu pahala
ijtihad (dan salahnya tidak berdosa sebab tidak sengaja mencari salah.)”
Begitu sudah jalan dibukakan oleh
agama, mengapa kita mempersukarkannya? Apa ertinya agama kalau kita tidak boleh
menggunakan akal? Tidak boleh berijtihad bersungguh-sungguh?
Kaum Tua berfikir dengan dasar
“jangan” dan kami berfikir dengan dasar “silakan”.
Kata Kaum Tua,
“Janganlah kamu berijtihad kalau
tidak cukup padamu ilmu Al-Quran dengan ayat mujmal dan muqayyadnya, ijmal dan
tafsil, am dan khas, nasikh dan mansukh, asbabul nuzul, Al-Hadis dan Al-Sunnah,
qaulun Nabi, wafa’alihu wataqrir. Dan matan hadis dan sunah hadis. Dan jarh dan
ta’dil dan al-mutawatir dan al-ahad dan sahih dan hasan dan dhaif. Dan ilmu
nahu dan sharaf. Dan manthiq dan ma’ani dan adabul lughat dan, dan, dan”
Tetapi mereka tidak belajar!
Dan Kaum Muda berkata,
“Pelajarilah olehmu segala ilmu yang
disebut itu supaya kamu boleh berijtihad!”
Saya ulang ke sekian kali, masalah
ijtihadiyah adalah masalah zhanni. Menuduh kafir, zindiq dan lain-lain bukanlah
mencari penyelesaian. Dan jikalau kita berijtihad, bukanlah ertinya bahawa kita
telah dapat menjawab segala persoalan.
Al-Imam Malik pernah ditanya
berkenaan 20 masalah. Tetapi, yang terjawab pada waktu itu hanyalah tiga
permasalahan sahaja. Yang 17 persoalan yang lain dijawabnya dengan“la adri”
(saya tidak tahu).
Alhasil bagi kami, ijtihad itu harus
digalakkan dan bagi Kaum Tua pula, “taqlid dijadikan tiang agama” dan kalau
kami bantah taqlid, dikatakan kami merosakkan tiang agama.
Kadang-kadang, dituduh pula Kaum Muda
tidak hormat kepada guru. Lantaran itu dikatakan pula kami merosakkan
tiang-tiang agama. Yang sebenarnya, kami hormat kepada guru dan hormat kepada
ibu bapa. Begitu juga saudara-saudara muslimin yang lain.
Kedudukan guru sama dengan kedudukan
ibu bapa; wajib dihormati dan dimuliakan. Tetapi, kalau guru itu silap
jalannya, maka sebagai tanda hormat, kami tegur kesilapannya. Dan jika
dibawanya dengan sengaja atau tidak dengan sengaja kepada yang salah, kami
tidak akan menurut.
SUMBER:
HAMKA, Sebuah Polemik Agama: Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti
Johor, hal. 61-65
“Kadang-kadang, kita telah
berdengki-dengkian sehingga musuh mudah benar memecahbelahkan kita. Apa guna
berkaum tua (Khalafi), apa guna berkaum muda (Salafi). Berkaum Muslimin saja
lebih baik!”
- Hamka -
p/s: Berminat untuk mendapat buku ini? Anda boleh membuat tempahan dari sini. =J
No comments:
Post a Comment