Showing posts with label Hadits. Show all posts
Showing posts with label Hadits. Show all posts

Sunday, 5 May 2013

"Baby Face" Di Syurga

Credit


Dikhabarkan bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) bersabda:


يَدْخُلُ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ جُرْدًا مُرْدًا بِيضًا جِعَادًا مُكَحَّلِينَ ، أَبْنَاءَ ثَلاثٍ وَثَلاثِينَ ، عَلَى خَلْقِ آدَمَ سِتُّونَ ذِرَاعًا فِي عَرْضِ سَبْعِ أَذْرُعٍ

"Akan masuk ahli syurga ke dalam syurga dalam keadaan tanpa berpakaian, belum berjanggut, putih, berkerinting, serta bercelak mata. 'Umur mereka antara tiga puluh tiga tahun, sama seperti penciptaan Adam (dahulu) tingginya enam puluh dira' dan besarnya tujuh dira".

[Hadits Marfu' riwayat Ahmad no: 7933, 13/315]


RUJUK: islamweb

SUMBER: Kenikmatan Syurga, halaman 26

DOWNLOAD LINK: islamhouse


WALLAHU a'lam.

Kedudukan Tangan Ketika I’tidal

Credit


PENULIS: As-Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin (رحمه الله)


SOALAN: Bagaimanakah kedudukan tangan ketika i’tidal, (iaitu) setelah bangkit dari ruku’? Adakah kita perlu meluruskan kedua-dua tangan, atau meletakkannya di dada seperti yang dilakukan sebelum ruku’?


JAWAPAN:


Dari Sahl bin Sa’ad as-Sa’idi (رضي الله عنه), dia berkata,

كَانَ النَّاسُ يُؤْمَرُونَ أَنْ يَضَعَ الرَّجُلُ الْيَدَ الْيُمْنَى عَلَى ذِرَاعِهِ الْيُسْرَى فِي الصَّلاَةِ

“Dulu, orang-orang diperintahkan agar meletakkan tangan kanan di atas lengan kiri di dalam solat”.

[HR al-Bukhari, Kitab Azan, Bab Meletakkan Tangan Kanan Di Atas Tangan Kiri Di Dalam Solat, no. 698]


Penyataan “di dalam solat” mencakupi seluruh bahagian solat. Akan tetapi, sudah maklum bahawa posisi ruku’ tidak termasuk di dalamnya kerana kedua-dua tangan berada di atas kedua-dua lutut. Kemudian, (begitu juga dengan) posisi sujud kerana kedua-dua tangan berada di atas tanah. Dan (begitu juga dengan) posisi duduk kerana kedua-dua tangan berada di atas kedua-dua paha.


Yang tersisa adalah posisi berdiri yang ada sebelum ruku’ dan sesudahnya (ruku’). Maka, posisi berdiri ini masuk ke dalam sifat ‘umum (iaitu semua jenis berdiri baik sebelum atau selepas ruku’).


Hanya saja al-Imam Ahmad bin Hanbal (رحمه الله) berkata, “Ketika seseorang bangkit dari ruku’, dia mempunyai pilihan antara membebaskan kedua-dua tangannya (ertinya meluruskan kedua-dua tangan di sisi) atau meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri”. Sepertinya, al-Imam Ahmad ragu-ragu sama ada hadits riwayat Sahl (رضي الله عنه) itu mencakupi (semua posisi berdiri di dalam) seluruh bahagian solat selain yang dikecualikan (iaitu ketika ruku’, sujud dan duduk antara dua sujud), atau hanya untuk posisi berdiri sebelum ruku’.


Apabila kita mengkhususkan hanya untuk posisi berdiri sebelum ruku’, maka ada syubhat (keraguan) yang timbul (iaitu) bagaimana mungkin pengecualian lebih banyak dari keseluruhan (iaitu yang dikecualikan dan yang tidak dikecualikan)?


Sekarang, kita mengecualikan ruku’, sujud dan duduk dari ke’umuman sabda Nabi (صلى الله عليه وسلم), “di dalam solat”. Sedangkan pada ‘umumnya, pengecualian (sepatutnya) lebih sedikit dari keseluruhan. Bahkan, tidak dibenarkan pengecualian jika jumlahnya lebih banyak dari keseluruhan.


Misalnya, mereka menyatakan bahawa seseorang berkata kepada orang lain, “Saya mempunyai hutang kepadanya sebanyak sepuluh (dirham) kecuali tujuh (dirham)”. Maka, (dalam situasi ini), orang itu wajib membayar sepuluh (dirham) kerana pengecualian tersebut tidak sah.


(Sepatutnya), jika pengecualian lebih banyak dari jumlahnya, maka cukup disebutkan pengecualian itu saja. (Sepatutnya,) katakana (saja), “Saya mempunyai hutang tiga dirham kepadanya”. Jika anda mengatakan “sepuluh (dirham) kecuali tujuh (dirham)", maka (ungkapan itu) menjadi terbalik (tak sesuai).


Walau bagaimanapun, kesimpulan yang dapat saya ambil (dalam hal ini), sesuai dengan yang kita ‘amalkan dan yang di’amalkan syaikh-syaikh kita (رحمهم الله) bahawa posisi (tangan ketika) berdiri setelah ruku’ sama seperti sebelum ruku’.


Kecuali Syaikh ‘Abdu-r-Rahman as-Sa’di (رحمه الله), dalam hal ini, dia mengikut keterangan dari al-Imam Ahmad, dan mengatakan, “(Ketika berdiri selepas ruku’,) seseorang mempunyai pilihan antara meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri, atau membebaskan kedua-duanya (iaitu meluruskan kedua-dua tangan di sisi)”. Dan saya melihat dia sering membebaskan kedua-dua (tangan)nya (ke sisi).


RUJUKAN: Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin, Sifat Solat Nabi (صلى الله عليه وسلم) Dari Takbir Hingga Salam: Perbahasan Dari Kitab Fath Dzi-l-Jalal w-al-Ikram Syarah Bulughul Muram, Cetakan Ketiga (Disember, 2012), Terbitan Darus Sunnah, halaman 17-18.


Saya kongsi petikan kitab ini BUKAN kerana mahu orang lain mengikut pandangan beliau dalam isu ini. Sebaliknya, tujuan utama saya kongsi petikan kitab ini adalah kerana:

(1) saya suka dengan “style” (qa’edah) & penjelasan Syaikh Ibnu-l-Utsaimin di dalam kitab ini (begitu juga di dalam kitab-kitab beliau yang lain) yang sangat jelas, kritis, juga lembut & beralas kritikannya sesuai dengan keelokan pekerti & penghormatan tinggi beliau terhadap generasi Salafu Soleh & ‘ulama’ Salafiah & terdahulu;

(2) saya mahu menggalakan orang lain supaya mendapatkan kitab ini & meluaskan pemahaman kita terhadap perbezaan pendapat agar tak cepat melatah dan menghukum orang lain sebagai sesat hanya kerana perbezaan mereka dalam solat (walhal, masing-masing berasaskan dalil-dalil yang sahih, insya Allah)

(3) sebagai muhasabah buat golongan yang semberono membuat tuduhan palsu bahawa ‘ulama’ Arab Saudi adalah anti-mazhab, kerana ternyata, mereka sentiasa menjadikan kitab-kitab ‘ulama’ Salafiah & fatwa-fatwa generasi Salafu Soleh, termasuk imam-imam mazhab (lebih-lebih lagi al-Imam Ahmad bin Hanbal kerana secara ‘umumnya, mereka bermazhab Hanbali).


p/s: Soalan & perkataan-perkataan di dalam kurungan adalah tambahan dari saya.


WALLAHU a’lam.

Wednesday, 10 April 2013

Sutrah Imam Menjadi Sutrah Ma’mum

Gambar Asal

Dari ‘Abdullah bin ‘Abbas (رضي الله عنهما), dia telah berkata:


أَقبَلتُ رَاكِبًا عَلَى حِمَارٍ أَتَانٍ, وَأَنَا يَومَئِذٍ قَد نَاهَزتُ الاِحتِلَامَ, وَرَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي بِالنَّاسِ بمِنًى إِلَى غَيرِ جِدَارٍ, فَمَرَرتُ بَينَ بَعضِ الصَّفِّ فَنَزَلتُ وَأَرسَلتُ الأَتَانَ تَرتَعُ وَدَخَلتُ فِي الصَّفِّ, فَلَم يُنكِرُ ذَلِكَ عَلَيَّ أَحَدًا.


“Aku menunggang keldai betina, dan aku pada hari itu, telah mendekati masa mimpi basah (baligh). Sedang Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) sedang melaksanakan solat bersama para sahabat di Mina tanpa adanya dinding, aku melintas di antara sebahagian saf, lalu aku turun dan aku lepaskan keldai betina itu untuk mencari rumput. Kemudian, aku memasuki saf, akan tetapi tidak ada seorang pun yang mengengkari perbuatanku.”

[Sahih al-Bukhari, Bab al-‘Ilmu (76)]


Makna Global

‘Abdullah bin ‘Abbas (رضي الله عنهما) telah memberitahu bahawa tatkala dia bersama Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) di Mina keika peristiwa Haji Wida’, dia telah menunggang seekor keldai, dan bersama keldainya itu, dia melintas pada sebahagian saf, manakala Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) pada ketika itu sedang menunaikan solat bersama para sahabat yang lain. Kemudian, dia turun dari keldainya dan membiarkannya memakan rumput, lalu dia masuk semula ke dalam saf.

Menurut ‘Abdullah bin ‘Abbas, ketika itu, dia mendekati usia baligh, yakni usia yang memungkinkan untuk dicegah jika dia melakukan perbuatan mungkar yang dapat merosakkan solat orang lain. Akan tetapi, di dalam hadis ini, perbuatan Ibnu ‘Abbas yang berjalan di antara saf-saf solat itu tidak dicegah dan diengkari oleh sesiapa pun, baik Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) mahupun para sahabat yang lain.


Manfa’at Hadits

(i)         Secara umumnya, melintasnya khimar atau keldai betina di hadapan orang yang sedang menunaikan solat tidak mengurangkan kesempurnaan solat dan tidak membatalkan solatnya (‘ulama’ berkhilaf pendapat tentang hal ini)

(ii)        Taqrir (pengiktirafan) Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) termasuk bahagian dari sunnah beliau kerana Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) tidak akan membenarkan seorang pun melakukan kebatilan. Maka, apabila baginda tidak mengengkari perbuatan Ibnu ‘Abbas (رضي الله عنهما) yang berjalan di antara saf-saf solat, ianya menunjukkan yang solat itu tetap sah (dan tidak kurang kesempurnaannya) dan perbuatan Ibnu ‘Abbas itu tidak salah.

(iii)       Berdasarkan hadis ini, jelaslah yang sutrah (pembatas) yang dipakai oleh Imam menjadi sutrah bagi makmum. Kerana itu, al-Imam al-Bukhari (رحمه الله) memasukkan hadis ini di dalam Sahihnya, di dalam “Bab Sutrahnya Imam Merupakan Sutrah Bagi Yang Berada di Belakangnya (yakni makmum)” (باب سترة الإمام سترة من خلفه).


SUMBER: asy-Syaikh ‘Abdullah ‘Abdu-r-Rahman Alu Bassam (رحمه الله), ‘Umdat-ul-Ahkam (Syarah Hadits Hukum Bukhari Muslim), Hadis ke-105, ms 270-271


WALLAHU a'lam.

Saturday, 30 March 2013

Larangan Menyebarkan Hadits Palsu



Penulis: as-Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani (رحمه الله)


Sabda Nabi (صلى الله عليه وسلم):

من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

“Barangsiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, hendaklah dia menempatkan dirinya di dalam neraka.”
[HR Ashabu-s-Sunan]


Kalaupun mereka tidak secara langsung memalsukan hadits-hadits Rasulullah صلى الله عليه وسلم (iaitu dengan mencipta hadits-hadits palsu), mereka dikategorikan sebagai pengikut atau pengekor dalam menyebarluaskan hadits-hadits yang belum jelas sahih dan dha'ifnya.


Di samping itu, mereka juga mengetahui bahwa dalam hadits-hadits Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) ada yang dha'if dan ada pula yang maudhu'. Dalam hal ini Rasullulah (صلى الله عليه وسلم) telah mengisyaratkan di dalam sabdanya:

كفى بـالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع

“Cukuplah bagi seseorang dianggap sebagai berdusta jika dia menyampaikan setiap apa yang dia dengar.”
[HR Muslim]


Kemudian, diriwayatkan dari al-Imam Malik (رحمه الله) bahawa beliau berkata:

"Ketahuilah bahwa seseorang itu tidak akan terlepas atau terselamat dari pembicaraan semua yang didengarnya. Dan tidak layak dia menjadi seorang iman atau pemimpin sedang dia sangat mudah menceritakan semua yang didengarnya."


Al-Imam Ibnu Hibban (رحمه الله) di dalam Sahihnya mengatakan:

"Wajib masuk neraka bagi sesiapa saja yang menisbahkan sesuatu kepada Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) padahal dia tidak mengetahui sejauh mana kebenarannya."


Kemudian, beliau menyebut hadits riwayat Ashabu-s-Sunan di atas. Seterusnya, al-Imam Ibnu Hibban (رحمه الله) berkata, "Telah nyata dari apa yang kami riwayatkan tadi bahwa itu adalah (hadits) sahih," seraya mengutarakan hadits lain dengan sanad dari Samurah bin Jindub:

من حدث عني بحديث يرى أنه كذب فهو أحدث الكاذبين

"Barangsiapa mengutarakan hadits tentangku yang dia melihat bahwa ianya (seakan-akan) dusta (palsu), maka dia (adalah) salah seorang (daripada) para pendusta."
[HR Muslim dari Samurah dan Mughirah bin Syu'bah]


(Sekarang,) menjadi jelaslah apa yang saya kemukakan tadi bahwa tidak boleh meriwayatkan atau mengutarakan hadits tanpa mengetahui sejauh mana kesahihannya. Kerena itu, siapa saja yang melakukannya dia termasuk orang yang berdusta di atas nama Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) dan termasuk orang-orang yang diancam oleh baginda dengan diberikannya tempat di dalam neraka, seperti yang tercantum dalam hadits mutawatir tadi.

Click imej untuk paparan rajah lebih besar. Atau click LINK INI  untuk bacaan lanjut.

SUMBER: Muhammad Nashiruddin al-Albani (رحمه الله), Silsilat-ul-Ahaadiits adh-Dha’ifah wal-Maudhu'ah wa Atsaruh-as-Sayyi’ fi-l-Ummah (Untaian Hadits-Hadits Lemah & Palsu & Kesannya Yang Buruk Kepada Ummah), Jilid I, 13-14


والله أعلم