Sunday, 9 September 2012

Kesan Dakwah Ayah HAMKA Di Indonesia

Link

Menggembleng Umat


Boleh dikatakan pada setiap minggu, datanglah kereta menjemput beliau (ayah HAMKA) ke Maninjau, dari negeri-negeri di seluruh Sumatera Barat untuk memberikan fatwanya.


Kadang-kadang beliau bersama-sama dengan ulama’ lain. Pertentangan antara Kaum Tua dan Kaum Muda berakhir begitu sahaja.


Permasalahan remeh temeh tidak dibangkitkan lagi. Malahan kalau ada ulama’ muda yang membangkitkan hal itu, beliau tegur dengan keras.


Begnya yang berisi kitab-kitab tulisannya dikepit dan dijual. Kalau dilihatnya masjid, tempatnya berfatwa itu buruk, maka sebelum beliau meneruskan pengajarannya di atas podium, beliau berkata terlebih dahulu,

“Saya lihat masjid ini seperti kandang kuda. Nenek-mamak dan alim ulama’ di sini hanya siang malam mengingati supaya perutnya berisi sahaja; jadi lebih (baik) sedikit daripada (binatang) yang berkaki empat.

Bagaimana sampai hati tidur dalam rumah elok, sedang rumah Tuhan dibiarkan jadi kandang kuda? Saya tidak akan berfatwa kalau tuan-tuan yang hadir tidak mengeluarkan wang atau zakat harta, padi, beras dan perniagaannya, ternaknya, kambingnya, kerbaunya, sapinya untuk memperbaiki masjid ini.

Dan untuk permulaaan, saya sendiri terlebih dahulu mengeluarkan.“

Lalu beliau keluarkan wang dari sakunya sebanyak f5.


Adakah nenek mamak, alim ulama’ atau orang ramai itu marah? Adakah mereka sakit hati kerana mereka dikatakan hanya memikirkan perut berisi? Adakah mereka sakit hati kerana mereka dikatakan hanya “lebih sedikit dari yang berkaki empat”?


Tidak ada yang marah! Dan di sinilah terletaknya rahsia kebesaran!


Dalam sekejap waktu, mengalirlah wang keluar dari setiap kantong, dari uncang. Ada kaum ibu yang menanggalkan gelangnya, kalau pertemuan itu dihadiri kaum ibu dengan pakai tabir. Ada pemuda yang menanggalkan bajunya.


Nenek mamak menyuruh pengerusi majsid menjemput padi ke lambungnya. Esok! Tidak tunggu sehari dua, kerana marahnya Dr (Haji Abdul Karim Amrullah a.k.a ayah HAMKA)


Maka terkumpullah wang, baru beliau melanjutkan fatwanya yang berapi-api itu. Isinya tauhid semata-mata, tarikh (sirah) perjuangan Nabi, tarikh keengkaran Bani Israel, membanteras adat jahiliah.


Kalau ada yang mengantuk, maka ditepukkan tangannya dan beliau mengherdik,

“Hei, mengapa tidur?! Itu (yang) di sudut (itu)! Mengapa kulit mata yang dihadapkan kedapaku?!”

Maka dengan perasaan malu, orang yang dimarahi itu menghapuskan air liur basinya yang telah meleleh, dan mendengar kembali dengan penuh patuh.


Di atas podium itu, beliau amat bengis seperti singa. Walaupun di hari tuanya, nafasnya mulai sesak, tetapi hilang sesak nafas itu kalau sudah di atas podium.


Kalau ada ulama’ yang hadir, diseuruhnya menyalin,

“Ei, salin!”

Kadang-kadang, syaikh-syaikh yang bersama dengan beliau pun turut menyalin.


Kalau pidatonya sudah hendak habis, maka berkatalah beliau,

“Insya Allah, kalau usiaku panjang, lain hari kita sambung.”


Orang ramai diminta tambah, tapi beliau tidak mahu. Sekali lagi nenek mamak diminta tambah. Lalu beliau kembali ke podium dan berkata,

“Insya Allah lain hari saya datang lagi iaitu ketika tuan-tuan memanggil saya untuk menaiki masjid yang baru (renovate). Kalau saya datang sekali lagi, saya tidak mahu lagi berfatwa di dalam masjid kepunyaan Allah yang serupa dengan kandang kuda. Saya mahu masjid yang baru!”


Dengan demikian, boleh dikatakan 80% masjid-masjid di Minangkabau, dalam masa 16 tahun, bertukar atapnya dari ijuk (atap nipah) ke zink. Bertukar dindingnya dari papan ke batu.

Link

Naiklah ke puncak sebuah munggu (bukit kecil) atau berdirilah sebentar di Lereng Bukit Batagak, batas Bukit Tinggi dan Padang Panjang. Lihatlah ke kiri-kanan, masjid-masjid “berbaju baru” semuanya. Di samping masjid, tentu ada sekolah agama.


Itulah bekas tangan beliau dan bekas tangan teman-temannya.


Oleh sebab itu, dengan sendirinya hilanglah rasa berpecah-belah seperti selama ini. Beliau tidak membateras adat, melainkan adat jahiliah. Tidak diperbezakan siapa yang memanggil; baik Muhammadiah mahupu Perti.


Tuan Syaikh Sulaiman ar-Rasuli yang sudah bertahun-tahun berpisah dengan beliau kerana perbezaan pendapat, akhirnya menjadi seorang yang mencintai beliau, dan beliau pun begitu juga kepadanya. Syaikh Sulaiman pernah bercerita,

“Kami telah menyatukan fahaman dengan ayahmu. Pada suatu hari, kami diundang orang untuk memberi penerangan agama ke sebelah Solok. Ayahmu, saya dan Syaikh Ibrahim Musa.

Di Sitinjau Laut, kereta kami rosak. Kami pun turun dari atasnya, melihat alam yang indah di sekeliling. Lalu saya berkata, ‘Kalau kita bertiga ini telah seperjalanan begini, akan bersatulah alam Minangkabau ini, dan sanggup menghadapi segala kesulitan’.

Ayahmu menjawab, ‘Sebetulnya, kaji kita tidak ada selisih-selisih. Apakah akan selisih kaji orang yang menyauk dari satu telaga? Cuma kadang-kadang salah faham, atau salah murid-murid menyampaikan yang menyebabkan kita terpisah’.”


Pada zaman rakyat berjuang, terutamanya sesudah Aksi Polisionil Kedua, saya mendatangi sebahagian negeri di Sumatera Barat. Masjid-masjidnya saya datangi dan saya hembuskan api semangat perjuangan. Maka, hampirlah setiap pengurus masjid-masjid itu berkata,

“Kadang-kadang, mahulah kami rasanya mengucapkan rasa syukur kerana serangan Belanda ini. Mahu kami mensyukuri adanya zaman darurat. Kalau tidak ada zaman darurat ini, tentu tuan tidak akan sampai ke mari.

Dahulu, ayah tuanlah yang mendatangi masjid ini. Atap ini usaha beliau, atau dinding ini usaha beliau.”


Ada pula perempuan tua berkata,

“Ayah tuan dahulu pernah makan di rumah ini. Di kerusi yang tuan duduk itulah beliau duduk.”


SUMBER: HAMKA, Ayahku, 240-244


"Dalam umur manusia ada satu perkara yang tidak ada isitrahatnya iaitu menguatkan hubungan dengan Tuhan. Kita sentiasa mesti “isti’dad”, bersedia! Bersedia menunggu kedatangan “panggilan”, sehingga tiada suatu juapun yang boleh mengikat kaki kita dengan dunia ini jika panggilan itu datang."

- Dr Haji Abdul Karim Amrullah -


p/s: Sesiapa sahaja yang mengenali HAMKA seharusnya mengenali insan yang paling banyak mempengaruhi pola pemikiran ulama' besar nusantara ini iaitu ayah beliau sendiri, Haji Abdul Karim Amrullah (Haji Rasul). Setelah membaca semi-novel "Ayahku", tidaklah salah jika dikatakan bahawa beliau selayaknya digelar mujaddid (pembaharu agama) atau syaikh-ul-Islam (ketua ulama') bagi seluruh ulama' di Indonesia mengenangkan besarnya pengaruh dakwah salafiah yang beliau perjuangkan di Indonesia. Buat sesiapa yang berminat untuk mendapatkan novel ini, anda boleh membuat tempahan melalui link ini. Selamat membaca. =J

Saturday, 8 September 2012

Keberanian Ayah HAMKA Di Hadapan Pemerintah Tentera Jepun

Link

Berpindah ke Jakarta


Pada pertengahan bulan Mac 1942, menyerahlah tentera Belanda dengan tidak bersyarat kepada tentera Jepun. Tentera Jepun pun masuk lah ke seluruh Pulau Jawa dengan tidak dapat dihambat lagi. Beliau (Dr H. Abdul Karim Amrullah iaitu ayah HAMKA) sendiri menyaksikan kejatuhan Belanda dan kenaikan Jepun di negeri buangannya di Sukabumi itu.


Oleh kerana keadaan nampaknya mulai aman, maka pada bulan April, sebulan sesudah Jepun menduduki Indonesia, datanglah pencinta-pencinta beliau dari Jakarta, mengajak beliau supaya berpindah ke Jakarta. Kalau beliau ingin pulang ke kampong, boleh diusahkan selekasnya pulang. Dan kalau belum ada kemungkinan pulang, beliau boleh tinggal di Jakarta dalam penjagaan murid-murid dan pencinta-pencintanya yang banyak mendiami Jakarta.


Maka, setelah Sembilan bulan mendiami Sukabumi (dalam buangan Belanda), dan tidak pernah sekali pun mendapat onderstand (wang pembiayaan) yang dijanjikan Belanda; berbekalkan bantuan pelajar-pelajarnya, beliau pun berangkatlah ke Jakarta, meninggalkan Kota Sukabumi yang telah dicintainya dan mencintainya itu.


Meskipun beliau telah berpindah ke Jakarta, namun murid-muridnya di Sukabumi tetap juga datang menziarahi beliau di Jakarta, kerana teringat bagaimana mendalamnya pendidikan iman yang beliau ajarkan selama mendiami Sukabumi.


Mulanya beliau tinggal di Gang Alhambra Sawah Besar. Beberapa waktu kemudian, beliau pun berpindahlah ke Gang Kebon Kacang IV No. 22 di Tanah Abang. Isterinya, Dariyah (ibu tiri HAMKA) dan putera bongsunya, Wadud mengikut beliau dan menjaga beliau dengan sangat setia.


Maka, tidaklah berhenti muridnya mengerumuninya, terutamanya setelah beliau tinggal di Tanah Abang. Dan tidak pula berhenti-berhenti pemimpin-pemimpin rakyat menziarahi beliau. Penduduk Tanah Abang lekas mengenali beliau dan lekas pula beliau dicintai penduduk di sana. Kepada beliau, dipanggilkan “abuya”, dan kepada isterinya dipanggilkan “ummi”.


Nama beliau sebagai seorang ulama yang sangat bermusuhan dengan Belanda sehingga diasingkan (dibuang negeri) lekas sampai ke telinga bangsa Jepun. Tentu sahaja Jepun berusaha hendak mendekati dan mengadakan hubungan dengan beliau. Maka, tidaklah sunyi-sunyinya Jepun mendatanginya. Nama beliau lekas disiarkan oleh Jepun dalam surat khabar-surat khabarnya; dimahsyurkan ke seluruh Asia Timur Raya.


Ketika itu, Jepun sedang mencari hubungan dengan pemimpin-pemimpin rakyat. Ketika itu, timbullah “Pemimpin Empat Serangkai” iaitu Ir. Sukarno, Drs. Mohammad Hatta, Ki Hajar Dewantara, dan K.H. Mas Mansur, pemimpin PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat).


Sedang beliau (ayah HAMKA) diangkat menjadi penasihat dari Pusat Kebudayaan, anggota dari Pusat Pembantu Perajurit dan Penasihat dari Pusat Keagamaan (Syambu).


Link
Saat Bersejarah


Segala jawatan itu tidaklah beliau tolak pada mulanya. Beliau pun diangkat menjadi guru kepada Latihan Ulama’ seluruh tanah Jawa yang diadakan oleh MIAI yang kemudiannya ditukar menjadi Masyumi. Semuanya disanggupinya. Jepun amat berbesar hati kerana mendapat ulama’ sebesar itu.


Maka, untuk mencukupkan propagandanya, pada tahun 1943, bertempat di Bandung, diadakan satu pertemuan para ulama’ seluruh tanah Jawa; sebagaimana pertemuan ulama’ Sumatera dan Malaya yang diadakan di Singapura.


Beliau diberi penginapan di Hotel Homan, hotel yang pada zaman Belanda hanya menjadi penginapan kaum penjajah Belanda sahaja; sebagaiman Hotel Des Indes di Jakarta.


Pertemuan diadakan di Kabupaten Bandung. Alim ulama’ yang ternama dari seluruh tanah Jawa boleh dikatakan lengkap hadir. Buat beliau, diberikan penghormatan istimewa. Beliau diberi tempat duduk bersama-sama dengan Kakka-kakka Jepun yang bergantungan di pinggang mereka pedang samurai, sambil menghadap sekalian ulama’ yang banyak itu. Dengan kata mudah, beliau diangkat menjadi “Penasihat Tinggi”; sebagaimana jawatan yang diberikan kepada Syaikh M. Jamil Jambik di Bukit Tinggi.


Maka, perjumpaan pun bermula. Tentu sahaja isi perjumpaan tidak akan lebih daripada mengambil suara ulama’, bersama menyatakan taat setia dan kerjasama dengan pemerintahan bala Tentera Diraja Nippon dan taat kepada Tenno Heika.


Sebelum perjumpaan bermula, ia hendaklah dibuka dengan upaca “Sei Keirei” iaitu menghadap (dengan gaya ruku’) ke Istana Diraja Tenno Heika di Timur Laut. Upacara ini adalah “rukun” yang wajib dilakukan sebelum bermulanya segala perjumpaan.


Semua orang pun berdiri. Seorang Komanda menjerit, “Sei Keirei!”, lalu semua menekur ruku’ menghadap ke istana. Semua serban, semua jubah, semuanya berdiri!


Hanya seorang tua yang kurus, tapi matanya menyinarkan iman yang panas dan hati yang waja; hanya dia seorang sahaja yang duduk, tidak ikut berdiri iaitu Dr H. Abdul Karim Amrullah (ayah HAMKA), walaupun di kiri dan kanannya berbaris Jepun yang lengkap berpedang panjang semuanya!


Ganjil suasana perjumpaan sesudah komanda “naure” (ertinya menyuruh mengangkat kepada kembali dan menyuruh duduk). Semua mata memandangnya dengan penuh cemas dan mempunyai beberapa makna; mata alim ulama’ yang insaf bahawa perbuatan mereka salah, atau mata alim ulama’ berasa kecilnya jiwa dan lemahnya imana mereka kerana turut ruku’. Demikian juga mata-mata Jepun yang tercengang kehairanan mengapa yang satu ini tidak turut berdiri?


Sehabis upacara itu, beliau pun berdiri dan berkata (sebagaimana yang diceritakan oleh saudara Aoh Kartahadimaja),

“Tuan-tuan ulama’ yang mulia! Memegang dan mempertahankan pendirian dan keyakinan tidaklah selalu membawa bahaya. Bahkan, asal kita tetap tawakkal kepada Tuhan, bukan bahaya yang akan menimpa, tetapi mungkin menguntungkan. Janganlah hanya mengingat bahaya, tetapi inngat pulalah akan keuntungan itu.

Cubalah lihat sikap saya tadi. Saya tetap duduk sekali-kali bukanlah kerana ingin menentang pemerintah Saudara Tua kita, Dai Nippon. Melainkan kerana taat kepada ketentuan Allah. Allah lah yang melarang saya turut melakukan upacara ruku’ kepadanya yang selain Dia.

Cubalah tuan-tuan lihat sekarang. Paduka Tuan Kolonel tidaklah kecewa kepada saya kerana saya tetap berpegang tehuh kepada keyakinan agama saya. Sebab beliau pun orang yang taat setia pula kepada agamanya sendiri.”


Pada hari itu, belum ada sebarang pertanyaan dari pihak Jepun kepada dirinya. Sebaliknya, beliau tetap dihormati, malah lebih dihormati; walaupun penghormatan yang sudah tentu sehaja lain ertinya. Padahal, tujuan asal Jepun “mengangkat” beliau adalah untuk “mendesak” kebudayaan Jepun ke dalam tanah tauhid ini.


Para ulama’ pun banyak yang datang menziarahi beliau sesudah perjumpaan itu, bagi menyatakan cinta dan hormat sepenuh hati. Ada yang mencium tangannya kerana sangat cinta. Dengan serta merta, tersebarlah khabar ini ke seluruh dusun dan kota di tanah Jawa.


Dalam saat yang hanya setengah minit itu, beliau telah menyatakan pendirian Islam yang sebenarnya terhadap Kerajaan Musyrik. Sepertimana yang dinyatakan oleh Drs. Mohammad Hatta, dalam setengah minit itu, tercatatlah beliau sebagai,

“Ulama’ yang mula-mula sekali menyatakan Revolusi Jiwa kepada Jepun di Indonesia!”


Sepatutnya, perjalanan akan diteruskan sehabis perjumpaan itu ke kota lain, sebab beliau akan dijadikan alat propaganda. Tetapi, lantara kejadian itu, beliau pun “dengan segala hormatnya” dibawa pulang kembali ke Jakarta.


Sesungguhnya beratlah dalam perasaan para ulama’ dalam menghadapi soal sei keirei ini. Tidak ada ulama’ yang sebenar ulama’ yang mahu menerima sei keirei ini.


Ketika Jepun mengadakan pertemuan ulama’ di Singapura, Syaikh Taher Jalaluddin telah menyatakan kepada beberapa ulama’ supaya soal sei keirei ini diperkatakan, tetapi tidak ada yang berani. Apatah lagi apabila pertemuan tersebut semuanya diatur oleh Jepun sendiri; tidak boleh dilebih-lebih.


Dan segala pertemuan harus dihadiri Jepun. Di pondok ulama’ pun dihadirkan beberapa orang Jepun. Ada juga yang mengatakan mereka telah memeluk Islam.


Syaikh Taher ketika diadakan pertemuan di Singapura, terpaksa juga berdiri, tetapi diisyaratkan sahaja kepalanya ke bawah sedikit, sambil mengucapkan,

“Astaghfiruka ya Rabb…” (Aku memohon ampun kepada-Mu, wahai Tuhan)


Sesetengah ulama’ lagi dengan lantas menjauhkan diri. Antaranya ialah Syaikh Mahmud Khayath di Medan, A. Hassan di Bandung, Syaikh Daud Rasyidi di Sumatera Barat. Maka, terlepaslah diri mereka sendiri.


Tetapi, ulama’ lain seperti Syaikh M. Jamil Jambek, Sutan Mansur, Syaikh Sulaiman ar-Rasuli dan berpuluh-puluh ulama’ lagi terpaksa berada dekat dengan Jepun. Tetapi, tidak ada yang sampai tunduk kepalanya kepada batas ruku’. Dalam pada itu, mereka mengomel juga di dalam hati.


Di sinilah keistimewaan beliau. Di tempat umum, di hadapan ramai ulama’, di saat bahaya kempeitei sangat mengancam, di saat banyak pemimpin yang “hilang” sahaja kerana dituduh anti-Nippon, dengan iman yang penuh dan berserah kepada Allah, beliau tidak berdiri dan tidak ruku’. Satu sejarah yang gilang-gemilang!


Link

Setelah beberapa hari kembali ke Jakarta, kerana rupanya telah insaf kekuatan apa yang tersimpan di dalam jiwa kaum Muslimin, maka datanglah kepadanya Kolonel Hori yang disebut Kepala Urusan Agama itu.


Rupa-rupanya telah dicetak satu buku bernama “Wajah Semangat” yang dikarang oleh seorang ahli kebudayaan Jepun. Buku itu penuh berisi puji-pujian kepada Kaisar Jepun dan menyatakan bahawa kaisar itu adalah “Tuhan Yang Maha Kuasa” yang menganugerahkan kehidupan bagi kepulauan Yamato, keturunan kepada Sang Matahari yang bernama Ameterasu Omikami.


Buku itu dibawa oleh Kolonel Hori kepada beliau dan diminta pertimbangannya dan perbandingannya dengan kepercayaan agama Islam. Setelah buku itu diterimanya dan dibacanya, datanglah kembalai Kolonel Hori itu bagi menanyakan buah fikirannya terhadap buku itu dan perbandingannya dengan kepercayaan agama Islam. Lalu, beliau berkata,

“Saya suka menyatakan pendapat saya dalam agama Islam terhadap buku ini. Tetapi, dengan syarat tuan berjanji jika saya menerangkan perkara yang sebenarnya, saya tidak akan diganggu dan jiwa saya tidak akan terancam.”

“Jangan cemas tuan doktor. Saya jamin!”

Kata Kolonel Hori.


“Kalau begitu, biar saya tulis.”

Jawab beliau.


Lalu, beliau tulislah satu risalah kecil membantah kepercayaan Jepun yang dikarang oleh S. Oze di dalam buku “Wajah Semangat” itu, lalu diterangkannya pula kepercayaan Tauhid Islam. “Ketuhanan” Tenno Heika itu dibantahnya sekeras-kerasnya dengan sikap yang berani.


Ketika M. Zain Jambek dan Asa Bafagih disuruh supaya disalin kembali tulisannya kepada huruf latin, kedua-dua orang pemuda yang telah menganggapnya sebagai ayah kandung mereka ini meminta dengan sangat supaya beberapa kepercayaan Islam yang beliau terangkan itu yang mana ianya sangat bertentangan dan menyinggung kepercayaan Jepun supaya “dilunakkan” sedikit.


Dengan keras, beliau bertahan dan melarang sekeras-kerasnya daripada diubah maksudnya itu,

“Yang kalian minta lunakkan itulah yang sebenarnya isi buku.”

Kata beliau.


Setalah salinan itu selesai, lalu datanglah Kolonel Hori menjemputnya. Setelah dilihatnya (buku itu), ternyata sangat bertentangan dengan maksud “serangan” budaya Jepun (ke atas masyarakat Muslim di Indonesia). Maka, tahulah dia akan isi kepercayaan kaum Muslimin.


Tidak lama kemudian, Kolonel itupun kembali ke Tokyo dan meninggalkan beberapa orang Jepun yang diberikan nama-nama Islam; entah Islam entah tidak, wallahu a’lam. Dan pengarah pejabat urusan agama diserahkan kepada putera Indonesia sendiri iaitu Porf. Dr. Husain Jayadinigrat.


Selang beberapa lama sesudah ahli pengetahuan yang mahsyur ini (Dr Hussain) menjawat pangkatnya itu, saya sempat menziarahinya di pejabatnya, sambil ditemani oleh Tuan H. Mukhtar Yogya. Dr Hussain berkata,

“Sekarang, rupa-rupanya pemerintah Dai Nippon telah mengerti bahawa “Sei Keirei” itu berlawanan dengan kepercayaan Islam. Sebab itu, maka sekarang, dalam pertemuan-pertemuan kaum Islam, tidak dimestikan lagi upacara sei keirei itu.”


SUMBER: HAMKA, Ayahku, 297-304. 332


"Ulama tidak boleh hanya duduk-duduk tafakur dalam suraunya sambli mengeleng-gelengkan kepala…lalu membilang-bilang tasbih kayu mati. Ulama’ harus tampil ke muka masyarakat, memimpinnya menuju kebenaran. Dan itulah kewajipan kami! Buat itu, kami bersedia mati!" 

- Dr. Haji Abdul Karim Amrullah -


p/s: Sesiapa sahaja yang mengenali HAMKA seharusnya mengenali insan yang paling banyak mempengaruhi pola pemikiran ulama' besar nusantara ini iaitu ayah beliau sendiri, Haji Abdul Karim Amrullah (Haji Rasul). Setelah membaca semi-novel "Ayahku", tidaklah salah jika dikatakan bahawa beliau selayaknya digelar mujaddid (pembaharu agama) atau syaikh-ul-Islam (ketua ulama') bagi seluruh ulama' di Indonesia mengenangkan besarnya pengaruh dakwah salafiah yang beliau perjuangkan di Indonesia. Buat sesiapa yang berminat untuk mendapatkan novel ini, anda boleh membuat tempahan melalui link ini. Selamat membaca. =J

Friday, 7 September 2012

Pengertian Kaum Tua & Kaum Muda

Link


Sudah berlarut-larut kita bicara “Kaum Tua, Kaum Muda”. Padahal, menurut ilmu manthiq, hendaklah sebelum membicarakan sesuatu masalah, kita membuat had atau jangka ukuran daripada sesuatu perkataan supaya (kita) dapat meletakkan tasyawwur dan tasdiqnya. Maka, jika kita lihat kepada perintah, amatlah kabur perbatasan Kaum Muda itu.


Orang yang dilabel Kaum Muda pada umumnya hendak kembali kepada hulu agama iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w., sedang Kaum Tua hendak bertahan kepada taqlid kepada para ulama’ yang datang di belakang.


Kaum Muda memegang Mazhab asy-Syafie yang asli iaitu “iza sahh-al-hadis fahuwa mazhabi” (apabila sahih sesuatu hadis, itulah mazhabku), sedang yang dikatakan Kaum Tua setia memegang (kutub) al-Tuhfah, al-Nihayah dan al-Minhaj yang dikarang orang ratusan tahun di belakang Syafie sendiri.


Kalau kita lihat keadaan dan kita bandingkan dengan namanya dalam bahasa lain, nyatalah salahnya pengertian ini. Yang dikatakan Kaum Muda sekarang itulah yang sepatutnya disebut Kaum Tua.


Al-Quran memberi kebebasan berfikir (dengan firman-Nya), “afala tatafakkarun” (tidakkah kamu berfikir?!) dan menggunakan akal (dengan firman-Nya), “afala ta’qilun” (tidakkah kamu beraqal?!). Rasulullah s.a.w. (pun) demikian pula. Imam-imam yang empat (turut) melarang taqlid. Golongan yang disebut Kaum Muda itu berpegang dengan yang demikian.


Padahal golongan yang disebut Kaum Tua berpegang dengan qala (berkata) al-Ramli, qala ar-Rafie, qala Ibnu Hajar!


Menurut lughah yang dipakai dalam Bahasa Inggeris, golongan yang berpegang pada pokok yang asal itu disebut “orthodox” (yang) ertinya golongan tua.


Menurutu lughah yang dipakai dalam Bahasa Arab, (orthodox) dinamakan (sebagai) “Mazhab Salaf” dan salaf itu ertinya nenek moyang yang dahulu kala. Lawannya ialah khalaf.


Di Mesir, golongan Muhammad ‘Abduh dinamakan (sebagai) Mazhabu-s-Salaf. Orang-orang Wahhabi di Tanah Arab (meminta) supaya diri mereka juga (dikenali sebagai) Mazhabus-s-Salaf; ertinya kesemuanya (ialah) “Kaum Tua”.


Inilah suatu pengertian yang salah yang berlaku di negeri kita selama 50 tahun.


Maka, tukang-tukang bid’ah, tukang khurafat, tukang menambah-nambah tiang agama di atas tiangnya yang asli sepatutnya digelarkan Kaum Muda. Dan yang hendak langsung berpegang dengan asal dan hulu agama, sepatutnya digelar Kaum Tua!


Dan Kaum Tua dan Kaum Muda di Indonesia, Malaya dan Siam sudah bertaqlid saja kepada erti yang salah 50 tahun lamanya.

Link

Adapun saya sendiri tidaklah keberatan didakwa (sebagai) Kaum Tua sebab yang paling tua di dalam Islam ialah al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. yang muthi’ah dikatakan Kaum Muda pun boleh sebab telah terbiasa begitu.


Tetapi, jika saya dikatakan (sebagai) orang Islam saja, tidak Kaum Tua, tidak Kaum Muda, itulah yang lebih baik. Saya sefahaman dengan pangkal kata mufti (bahawa) tidak ada berkaum-kaum seperti itu di dalam asal Islam.


Kaum Muda (dan) Kaum Tua pun tidak dapat diukur pada umur.


Ada seorang tua yang umurnya telah 90 tahun dan wafat di dalam usia lebih 90 tahun. Di dalam usia setua itu, dia masih mengeluarkan “Risalah Penebas Ke Atas Bid’ah-Bid’ah Di Kepala Batas” yang isinya menegakkan Sunnah Rasulullah s.a.w. Dialah asy-Syaikh Tahir Jalaluddin.


Ada (pula) seorang pemuda di bawah umur 20 tahun, padahal dia tidak mahu berpegang kepada Sunnah Rasulullah s.a.w.! Dia hanya berkeras mempertahankan apa yang telah diterima daripada nenek moyangnya! Tak mahu berganjak!


Siapakah antara kedua-duanya yang Kaum Tua? (Dan) siapa (pula) yang Kaum Muda?


Oleh sebab itu, pada hakikatnya, tidaklah ada faedahnya kita memakai segala gelaran atau nama yang akan mendatangkan ragu-ragu atau perpecahan, sebagaiman sabda Tuhan di dalam al-Quran, “wala tanabazu bi-l-alqab”, ertinya janganlah kamu bersenda-senda pada gelaran-gelaran.


Dan kadang-kadang, saya melihat pujian Rasulullah s.a.w. kepada Kaum Muda, iaitu anak-anak muda yang hatinya terpaut teguh kepada masjid. Sebelum masuk waktu, dia telah i’tikaf.


Kadang-kadang, saya lihat pula pujian kepada Kaum Tua, bahkan (kepada) perempuan tua. Baiklah beriman dengan “iman-ul-a’jaiz”, kata Rasulullah s.a.w.! Iman perempuan tua yang dengan tunduk tafakur mendengar pelajaran dan tidak berpaling kepada yang lain!


Kadang-kadang saya melihat orang berani dan gagah memperdebatkan agama. Dia menyelidik sesuatu hukum. Kata orang, hukum (bagi perkara) itu adalah haram. Dan menurut penyelidikannya, (hukumnya) hanyalah makruh. Sebab hanya makruh, lalu dikerjakannya. Dan kata orang, satu perkara lain hukumnya wajib. Menurut penyelidikannya, hukum (perkara) itu hanya sunat. Oleh sebab hanya sunat, (perkara itu) tidak dikerjakannya lagi. Pendeknya, sejak dia pandai berhujah, agamanya (menjadi) ringan!


Kadang-kadang, saya melihat penduduk kampong yang teguh bergama. Dipimpin oleh lebai di kampong itu bersungguh-sungguh menjaga waktu (solat) yang lima. (Seawal) pukul lima pagi, tabuh (bedok) sudah dipukul, memanggil orang solat. Lelaki, perempuan semua berduyun-duyun datang ke surau.


Maka terjadilah perpecahan di kampong itu kerana datang seorang pemuda mengatakan bahawa tabuh itu adalah bid’ah, tidak berasal dari Rasulullah s.a.w.


Kadang-kadang, orang bertengkar, adakah melafazkan usolli itu bid’ah atau sunat. Tetapi, orang tidak berupaya lagi memanggil umat yang masih bernama Islam, yang bukan saja menegakkan usolli, tetapi telah meninggalkan solat sama sekali!


Selama kita bertengkar-tengkar, ber-Kaum Tua ber-Kaum Muda, agama kita telah diserang dari segala penjuru. Kita banyak melihat al-‘alimin ghafilin (orang alim yang lalai) dan melihat pula al-jahilin al-munsikin (orang bodoh yang kuat beribadah); hal ini belum kita tilik (teliti)!


Kadang-kadang, kita telah berdengki-dengkian sehingga musuh mudah benar memecah-belahkan kita. Apa guna ber-Kaum Tua, apa guna ber-Kaum Muda. Ber-Kaum Muslimin saja lebih baik!


SUMBER:
HAMKA, Sebuah Polemik Agama: Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor, hal. 97-100


"Kita akan dapat bersatu atau hormat-menghormati walaupun fahaman berbeza-beza asalkan kita berhati terbuka dan tidak hendak menang sendiri saja."

-HAMKA-


p/s: Berminat untuk mendapatkan buku ini? Sila membuat tempahan di sini. =J

Kesalahan Terbesar Kaum Muda

Link

Jika kami hendak dikatakan salah, adalah kerana kami yang mula-mula membuka mata, yang mula-mula menerangkan isi kitab yang tersembunyi.


Misalnya, sejak 1000 tahun dahulu, telah tertulis di dalam kitab-kitab termasuk juga kitab-kitab di dalam Mazhab Syafie, ada ulama’ menyatakan bahawa melafazkan “usolli” (aku bersolat) pada permulaan takbirat-ul-ihram tidaklah berasal dari Nabi, tidak dairpada sahabat-sahabat, tidak daripada tabi’in dan tidak daripada keempat-empat ulama’ ikutan kita (Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Muhammad Idris asy-Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal).


Sedang yang terajarkan lebih dahulu (di negeri kita) ialah memakai “usolli”.


Maka, pada tahun 1911, dibukalah hal itu oleh asy-Syaikh Abdul Karim Amrullah (ayah HAMKA) dengan bukunya “al-Fawaid-ul-‘Aliyyah”; dibukanya seperti biasa saja. Lalu, ulama’ yang lain terkejut. Ada yang menentang sebab orang awam telah biasa memakai “usolli”.


Kemudian, ada yang marah kerana nas keterangan itu diambilnya pula daripada kitab “Zaad-ul-Ma’ad”, karangan Ibn-ul-Qayyim yang bermazhab Hanbali.


Dan ada pula yang lebih marah, lalu memaki-hamun dan mencarut-marut mengatakan al-Haj Abdul Karim Amrullah (atau gelarannya, “Haji Rasul”) telah keluar dari mazhab! Bahkan ada yang gelap mata, lalu menuduh (beliau sebagai) Mu’tazilah dan Wahhabi (sebab tuduhan Wahhabi adalah tuduhan berisi penghinaan).


Pada tahun 1911, lantaran itu, Haji Abdul Karim pun marah. Orang membidas, dia pun membidasnya. Orang kasar, dia pun kasar. Maka, pindahlah hal itu kepada orang awam yang tidak mengerti persoalan. Maka, berpecah-belahlah umat!


Lama-kelamaan, bertambah banyak juga yang solat tidak memakai “usolli” kerana bertambah banyak yang pandai membaca kitab-kitab Arab.


SUMBER:
HAMKA, Sebuah Polemik Agama: Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor, hal. 45-46


"Memang, apabila orang yang telah kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah umat Islam, ber-Kaum Tua, ber-Kaum Muda."

-HAMKA-


p/s: Berminat untuk mendapatkan buku ini? Sila membuat tempahan di sini. =J