Link |
Menggembleng
Umat
Boleh dikatakan pada setiap minggu, datanglah kereta menjemput beliau (ayah HAMKA) ke Maninjau, dari negeri-negeri di seluruh Sumatera Barat untuk memberikan fatwanya.
Kadang-kadang beliau bersama-sama dengan ulama’ lain. Pertentangan antara Kaum Tua dan Kaum Muda berakhir begitu sahaja.
Permasalahan remeh temeh tidak dibangkitkan lagi. Malahan kalau ada ulama’ muda yang membangkitkan hal itu, beliau tegur dengan keras.
Begnya yang berisi kitab-kitab tulisannya dikepit dan dijual. Kalau dilihatnya masjid, tempatnya berfatwa itu buruk, maka sebelum beliau meneruskan pengajarannya di atas podium, beliau berkata terlebih dahulu,
“Saya lihat masjid ini seperti kandang kuda.
Nenek-mamak dan alim ulama’ di sini hanya siang malam mengingati supaya
perutnya berisi sahaja; jadi lebih (baik) sedikit daripada (binatang) yang
berkaki empat.
Bagaimana sampai hati tidur dalam rumah elok, sedang
rumah Tuhan dibiarkan jadi kandang kuda? Saya tidak akan berfatwa kalau
tuan-tuan yang hadir tidak mengeluarkan wang atau zakat harta, padi, beras dan
perniagaannya, ternaknya, kambingnya, kerbaunya, sapinya untuk memperbaiki
masjid ini.
Dan untuk permulaaan, saya sendiri terlebih dahulu
mengeluarkan.“
Lalu
beliau keluarkan wang dari sakunya sebanyak f5.
Adakah nenek mamak, alim ulama’ atau orang ramai itu marah? Adakah mereka sakit hati kerana mereka dikatakan hanya memikirkan perut berisi? Adakah mereka sakit hati kerana mereka dikatakan hanya “lebih sedikit dari yang berkaki empat”?
Tidak ada yang marah! Dan di sinilah terletaknya rahsia kebesaran!
Dalam sekejap waktu, mengalirlah wang keluar dari setiap kantong, dari uncang. Ada kaum ibu yang menanggalkan gelangnya, kalau pertemuan itu dihadiri kaum ibu dengan pakai tabir. Ada pemuda yang menanggalkan bajunya.
Nenek mamak menyuruh pengerusi majsid menjemput padi ke lambungnya. Esok! Tidak tunggu sehari dua, kerana marahnya Dr (Haji Abdul Karim Amrullah a.k.a ayah HAMKA)
Maka terkumpullah wang, baru beliau melanjutkan fatwanya yang berapi-api itu. Isinya tauhid semata-mata, tarikh (sirah) perjuangan Nabi, tarikh keengkaran Bani Israel, membanteras adat jahiliah.
Kalau ada yang mengantuk, maka ditepukkan tangannya dan beliau mengherdik,
“Hei, mengapa tidur?! Itu (yang) di sudut (itu)!
Mengapa kulit mata yang dihadapkan kedapaku?!”
Maka
dengan perasaan malu, orang yang dimarahi itu menghapuskan air liur basinya
yang telah meleleh, dan mendengar kembali dengan penuh patuh.
Di atas podium itu, beliau amat bengis seperti singa. Walaupun di hari tuanya, nafasnya mulai sesak, tetapi hilang sesak nafas itu kalau sudah di atas podium.
Kalau ada ulama’ yang hadir, diseuruhnya menyalin,
“Ei, salin!”
Kadang-kadang,
syaikh-syaikh yang bersama dengan beliau pun turut menyalin.
Kalau pidatonya sudah hendak habis, maka berkatalah beliau,
“Insya Allah, kalau usiaku panjang, lain hari kita
sambung.”
Orang
ramai diminta tambah, tapi beliau tidak mahu. Sekali lagi nenek mamak diminta
tambah. Lalu beliau kembali ke podium dan berkata,
“Insya Allah lain hari saya datang lagi iaitu ketika
tuan-tuan memanggil saya untuk menaiki masjid yang baru (renovate). Kalau saya
datang sekali lagi, saya tidak mahu lagi berfatwa di dalam masjid kepunyaan
Allah yang serupa dengan kandang kuda. Saya mahu masjid yang baru!”
Dengan demikian, boleh dikatakan 80% masjid-masjid di Minangkabau, dalam masa 16 tahun, bertukar atapnya dari ijuk (atap nipah) ke zink. Bertukar dindingnya dari papan ke batu.
Link |
Naiklah ke puncak sebuah munggu (bukit kecil) atau berdirilah sebentar di Lereng Bukit Batagak, batas Bukit Tinggi dan Padang Panjang. Lihatlah ke kiri-kanan, masjid-masjid “berbaju baru” semuanya. Di samping masjid, tentu ada sekolah agama.
Itulah bekas tangan beliau dan bekas tangan teman-temannya.
Oleh sebab itu, dengan sendirinya hilanglah rasa berpecah-belah seperti selama ini. Beliau tidak membateras adat, melainkan adat jahiliah. Tidak diperbezakan siapa yang memanggil; baik Muhammadiah mahupu Perti.
Tuan Syaikh Sulaiman ar-Rasuli yang sudah bertahun-tahun berpisah dengan beliau kerana perbezaan pendapat, akhirnya menjadi seorang yang mencintai beliau, dan beliau pun begitu juga kepadanya. Syaikh Sulaiman pernah bercerita,
“Kami telah menyatukan fahaman dengan ayahmu. Pada
suatu hari, kami diundang orang untuk memberi penerangan agama ke sebelah
Solok. Ayahmu, saya dan Syaikh Ibrahim Musa.
Di Sitinjau Laut, kereta kami rosak. Kami pun turun
dari atasnya, melihat alam yang indah di sekeliling. Lalu saya berkata, ‘Kalau
kita bertiga ini telah seperjalanan begini, akan bersatulah alam Minangkabau
ini, dan sanggup menghadapi segala kesulitan’.
Ayahmu menjawab, ‘Sebetulnya, kaji kita tidak ada
selisih-selisih. Apakah akan selisih kaji orang yang menyauk dari satu telaga?
Cuma kadang-kadang salah faham, atau salah murid-murid menyampaikan yang
menyebabkan kita terpisah’.”
Pada
zaman rakyat berjuang, terutamanya sesudah Aksi Polisionil Kedua, saya
mendatangi sebahagian negeri di Sumatera Barat. Masjid-masjidnya saya datangi
dan saya hembuskan api semangat perjuangan. Maka, hampirlah setiap pengurus
masjid-masjid itu berkata,
“Kadang-kadang, mahulah kami rasanya mengucapkan rasa
syukur kerana serangan Belanda ini. Mahu kami mensyukuri adanya zaman darurat.
Kalau tidak ada zaman darurat ini, tentu tuan tidak akan sampai ke mari.
Dahulu, ayah tuanlah yang mendatangi masjid ini. Atap
ini usaha beliau, atau dinding ini usaha beliau.”
Ada
pula perempuan tua berkata,
“Ayah tuan dahulu pernah makan di rumah ini. Di kerusi
yang tuan duduk itulah beliau duduk.”
SUMBER: HAMKA, Ayahku, 240-244
"Dalam umur manusia
ada satu perkara yang tidak ada isitrahatnya iaitu menguatkan hubungan dengan
Tuhan. Kita sentiasa mesti “isti’dad”, bersedia! Bersedia menunggu kedatangan
“panggilan”, sehingga tiada suatu juapun yang boleh mengikat kaki kita dengan
dunia ini jika panggilan itu datang."
- Dr Haji Abdul Karim Amrullah -
p/s: Sesiapa sahaja yang mengenali HAMKA seharusnya mengenali insan yang paling banyak mempengaruhi pola pemikiran ulama' besar nusantara ini iaitu ayah beliau sendiri, Haji Abdul Karim Amrullah (Haji Rasul). Setelah membaca semi-novel "Ayahku", tidaklah salah jika dikatakan bahawa beliau selayaknya digelar mujaddid (pembaharu agama) atau syaikh-ul-Islam (ketua ulama') bagi seluruh ulama' di Indonesia mengenangkan besarnya pengaruh dakwah salafiah yang beliau perjuangkan di Indonesia. Buat sesiapa yang berminat untuk mendapatkan novel ini, anda boleh membuat tempahan melalui link ini. Selamat membaca. =J