Saturday, 30 March 2013

Adakah Nabi (صلى الله عليه وسلم) Adalah Makhluq Pertama Dijadikan Allah?

Gambar Hiasan


Penulis: Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi


SOALAN: Adakah benar bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) adalah makhluq yang mula-mula dijadikan oleh Allah? Dan adakah baginda dijadikan daripada cahaya? Kami mengharapkan pandangan tuan berdasarkan dalil-dalil al-Kitab & as-Sunnah.


JAWAPAN:


Telah diketahui bahawa hadits-hadits yang menyebut mengenai makhluq yang mula-mula dijadikan oleh Allah ialah “sekian & sekian” (jumlahnya) terlalu banyak. Semuanya itu sebenarnya bukanlah hadits sebagaimana yang dinyatakan oleh ahli-ahli hadits. Lantaran itu, kita dapati ia saling bertentangan antara satu sama lain.


Ada hadits menyatakan bahawa yang mula-mula dijadikan oleh Allah (سبحانه وتعالى) ialah al-Qalam. Hadits kedua pula menyebutkan bahawa yang mula-mula dijadikan ialah ‘aqal, dan lain-lain.


‘Umum menngetahui berdasarkan kisah maulid yang mahsyur dibacakan kepada mereka bahawa Allah telah menarik segenggam cahaya-Nya, lalu berfirman (yang bermaksud):

“Jadilah kamu Muhammad!”

Itulah seawall-awal makhluq yang dijadikan oleh Allah (dan) daripadanya (cahaya itu) dijadikan langit, bumi, dan lain-lain (hingga akhir hadits)


Kata-kata ini bukanlah dari riwayat yang sahih, tidak diterima ‘aqal, tidak dapat membantu agama & tidaklah dapat menggerakkan urusan keduniaan.


Tidak tsabit satu dalil pun mengenai Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) merupakan makhluq Allah yang pertama, sekalipun telah tsabit mengenai keistimewaan & kedudukan baginda di sisi al-Quran, sepertimana ketika Allah memuji Rasul-Nya di dalam al-Quran, dipuji-Nya dengan satu kedudukan istimewa yang haqiqi. Firman Allah (سبحانه وتعالى):


وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ

".Sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang agung"
[al-Qalam : 4]




Apa yang tsabit secara mutawatir ialah Nabi kita adalah Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muthalib al-Hasyimi al-Quraisy, dilahirkan daripada kedua-dua ibu bapanya iaitu ‘Abdullah & Aminah di Makkah dalam Tahun Gajah, dilahirkan & membesar sebagaimana manusia lain dilahirkan & dibesarkan.


Baginda dibangkitkan sebagai Nabi & Rasul sebagaimana Nabi & Rasul sebelumnya dibangkitkan. Baginda bukanlah Rasul yang pertama & baginda hidup sebagaimana biasa, kemudian dipilih oleh Allah (menjadi Rasul).


إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُم مَّيِّتُونَ

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati & sesungguhnya mereka (pun) akan mati.”
[az-Zumar : 30]


Baginda akan ditanya pada hari qiyamat sebagaimana Rasul-Rasul lain ditanya:


يَوْمَ يَجْمَعُ اللّهُ الرُّسُلَ فَيَقُولُ مَاذَا أُجِبْتُمْ قَالُواْ لاَ عِلْمَ لَنَا إِنَّكَ أَنتَ عَلاَّمُ الْغُيُوبِ

“(Ingatlah) hari di waktu Allah mengumpulkan para Rasul, lalu Allah bertanya (kepada mereka), ‘Apa jawapan kaummu terhadap seruanmu?’ Para Rasul menjawab, ‘Tidak ada pengetahuan kami (tentangnya). Sesungguhnya, Engkaulah yang mengetahui perkara-perkara ghaib.”
[al-Ma’idah : 109]


Banyak ayat al-Quran yang menguatkan bahawa Muhammad (صلى الله عليه وسلم) adalah manusia biasa & di dalam banyak Surah, Allah (سبحانه وتعالى) memerintahkan baginda supaya memberitahu perkara itu kepada manusia lain:


قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ

“Katakanlah (ya Muhammad), ‘Sesungguhnya aku adalah manusia seumpama kamu & aku diberikan wahyu’.”
[al-Kahfi : 110]


قُلْ سُبْحَانَ رَبِّي هَلْ كُنتُ إَلاَّ بَشَرًا رَّسُولاً

“Katakanlah (ya Muhammad), ‘Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?’”
[al-Isra’ : 93]


Baginda adalah manusia biasa tanpa apa-apa perbezaan, kecuali baginda adalah penerima wahyu & pembawa risalah Islam.


Nabi (صلى الله عليه وسلم) menguatkan lagi makna kemanusiaannya & peng’abdiannya kepada Allah (سبحانه وتعالى) di samping memberi amaran supaya tidak mengikut apa yang dilakukan oleh umat-umat terdahulu. Umat-umat terdahulu terlalu mensucikan & terlalu memuja Rasul-Rasul mereka. Baginda (صلى الله عليه وسلم) bersabda:


لا تطروني كما أطرت النصارى عيسى ابن مريم،فإنما أنا عبده،فقولوا عبد الله ورسوله

“Janganlah kamu memujaku sebagaimana orang-orang Nasrani memuja ‘Isa bin Maryam. Maka, katakanlah (Muhammad adalah) hamba Allah & Rasul-Nya.”
[HR al-Bukhari (3445)]


Nabi (صلى الله عليه وسلم) sebagaimana manusia biasa, baginda tidak dijadikan daripada cahaya & bukan pula daripada emas, tetapi daripada air yang terpancar keluar di antara tulang sulbi lelaki & tulang dada perempuan.


Dari sudut risalah & petunjuk pula, maka (dalam hal itu), baginda adalah cahaya & pelita yang amat terang daripada Allah. Allah telah menjelaskan perkara ini di dalam al-Quran dengan firman-Nya:


يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَرْسَلْنَا كَشَاهِدًا وَمُبَشِّرًاوَنَذِيرًا
وَدَاعِيًا إِلَى اللَّهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُّنِيرًا

“Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutuskan engkau (untuk menjadi) saksi, pembawa berita gembira, & pemberi peringatan. & (untuk menjadi) penyeru kepada Allah dengan izin-Nya & (untuk menjadi) cahaya yang menerangi.”
[al-Ahzab : 45-46]


Allah berfirman kepada ahlul kitab:


قَدْ جَاءكُم مِّنَ اللّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُّبِينٌ

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya & kitab yang jelas daripada Allah.”
[al-Ma’idah : 15]


“Nur” (cahaya) di dalam ayat ini merujuk kepada Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) sebagaimana al-Quran yang diturunkan kepada baginda yang juga disebut sebagai “nur” (cahaya).


Allah berfirman:


فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالنُّورِ الَّذِي أَنزَلْنَا

“Maka, hendaklah kamu beriman kepada Allah & Rasul-Nya & cahaya (al-Quran) yang telah kami turunkan.”
[at-Taubah : 8]


Allah telah menentukan peranannya di dalam firman-Nya:


لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ

“Untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya.”
[Ibrahim : 1]


Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) berdoa:


اللهم اجعل في قلبي نورا ، وفي لساني نورا ، واجعل في سمعي نورا ، واجعل في بصري نورا ، واجعل من خلفي نورا ، ومن أمامي نورا ، واجعل من فوقي نورا ، ومن تحتي نورا . اللهم أعطني نورا

“Wahai Tuhan kami, jadikanlah di dalam hatiku cahaya, pada pendengaranku cahaya, pada penglihatanku cahaya, pada dagingku cahaya, pada tulangku cahaya, pada rambutku cahaya, di kananku cahaya, di kiriku cahaya, di hadapan & di belakangku cahaya.”
[HR Muslim (763)]


Itulah Nabi (صلى الله عليه وسلم) yang membawa cahaya & Rasul yang membawa hidayah. Ya Allah, jadikanlah kami daripada kalangan orang-orang yang mendapat hidayah dengan cahayanya & mengikut sunnah-sunnahnya. Amiin.


SUMBER: Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fatawa Mu’ashirah (Fatwa Masa Kini), Jilid I, terbitan Pustaka Salam, Cetakan 1991, halaman 306-311



Fahaman Nur Muhammad mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam komuniti Islam pada hari ini, khususnya kaum Muslimin yang terlibat dalam kumpulan-kumpulan tareqat, kumpulan-kumpulan nasyid & rakyat Bangladesh.


Sedang haqiqatnya, fahaman Nur Muhammad ini tidak mempunyai sebarang asas daripada mana-mana dalil yang sahih. Sebagai kaum Muslimin, kita seharusnya berhati-hati ketika menisbahkan sesuatu kepada Nabi (صلى الله عليه وسلم) Sebarang pendustaan yang dinisbahkan kepada baginda, biarpun ianya disangka baik pada kita, ianya tetap dianggap sebagai berdusta atas nama Nabi s.a.w. Sabda Nabi (صلى الله عليه وسلم):


من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

“Barangsiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, hendaklah dia menempatkan dirinya di dalam neraka.”
[HR Ashabu-s-Sunan]


& yang lebih malang lagi, di dalam hadits lain, Nabi (صلى الله عليه وسلم) mengingatkan kita bahawa seseorang itu sudah dianggap sebagai berdusta sebaik sahaja dia menyebarkan setiap perkara yang dia dengar, tanpa dia nilai terlebih dahulu akan kesahihan kisahnya:


كفى بـالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع

“Cukuplah bagi seseorang untuk dianggap sebagai pendusta jika dia menyampaikan setiap apa yang dia dengar.”
[HR Muslim]


Mudah-mudahan, penjelasan yang diberikan oleh Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi di atas tentang palsunya hadits-hadits berkaitan Nur Muhammad, beserta ancaman dari baginda buat sesiapa yang sengaja berdusta atas nama baginda, atau bermudah-mudah menyebarkan kata-kata yang disandarkan kepada Nabi (صلى الله عليه وسلم) sebelum dipastikan kesahihannya, akan membuatkan kita lebih berhati-hati sebelum bertaqlid dengan semua ‘amalan atau i’tiqad (keyakinan) yang dipegang oleh kebanyakan manusia.


والله أعلم

No comments:

Post a Comment