Thursday, 9 May 2013

Syarat Sah Takbir Di Dalam Solat

Credit

PENULIS: asy-Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin

Ada beberapa syarat takbir yang mana ia tidak sah kecuali dengan syarat-syarat tersebut:

(1) Menggunakan lafaz yang disebut di atas (iaitu “Allahu Akbar”)

(2) Secara berturut-turut antara dua perkataan tersebut, “Allahu Akbar”. Jika anda mengucapkan “al-Akbar Allahu”, maka ia tidak sah, kerana lafaz-lafaz zikir bersifat tauqifi (terhenti setakat mana yang diperintahkan Allah; atau dengan kata lain, tidak boleh direka-reka sendiri atau diubahsuai mengikut selera hati).

(3) Tidak memanjangkan huruf “hamzah”, baik pada perkataan pertama, mahupun pada perkataan kedua. Jika seseorang mengucapkan “Aaallahu Akbar”, maka takbirnya tidak sah, kerana kalimat tersebut berubah menjadi kalimat tanya, “Adakah Allah Maha Besar?” Sama seperti firman Allah ta’ala:

آللَّهُ خَيْرٌ أَمَّا يُشْرِكُونَ

“…Adakah Allah yang lebih baik, atau apa yang mereka sekutukan (dengan Allah itu yang lebih baik)?” 
[an-Naml:59]

Jika ia mengucapkan “Allahu aakbar”, juga tidak sah kerana ia berubah menjadi kalimat tanya, “Allah itu, adakah Dia Maha Besar?”


(4) Tidak memanjangkan huruf “ba’”, iaitu membacanya dengan “Allahu Akbaar”. ‘Ulama’ berkata, “Kerana perkataan ‘akbaar’ adalah bentuk jama’ (plural) dari perkataan ‘kabar’ (gendang besar), sama seperti perkataan ‘asbaab’ yang merupakan bentuk jama’ dari perkataan ‘sabab’ (sebab)”.


(5) Sekarang, timbul persoalan bagaimana jika seseorang membaca “Allaaahu Akbar” dengan memanjangkan huruf “lam” seperti yang dilakukan oleh sebahagian muazzin (bilal); adakah takbir itu sah atau tidak? Secara zahir, takbir tersebut sah, tetapi salah dari segi tajwid.


(6) Manakala jika dibaca “Allahu wakbar”; mengganti huruf “hamzah” dengan huruf “waw” seperti yang dilakukan oleh kebanyakan manusia, takbir tersebut sah, kerana mengganti huruf “hamzah” dengan huruf “waw”, jika hamzah tersebut terletak setelah huruf berharakat dhammah, ianya diperbolehkan di dalam Bahasa ‘Arab. Hanya saja membaca dengan huruf “hamzah” lebih utama dan lebih baik.


SUMBER: asy-Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin, Sifat Solat Nabi (s.a.w.) Dari Takbir Hingga Salam: Perbahasan dari Kitab Fathi Dzi-l-Jalali w-al-Ikram Syarah Bulughul Maram, terbitan Darus Sunnah (cetakan ketiga), halaman 31-32


p/s: Perkataan-perkataan di dalam kurungan adalah tambahan dari saya untuk memudahkan pemahaman, insya Allah.


WALLAHU a’lam.

Sunday, 5 May 2013

"Baby Face" Di Syurga

Credit


Dikhabarkan bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) bersabda:


يَدْخُلُ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ جُرْدًا مُرْدًا بِيضًا جِعَادًا مُكَحَّلِينَ ، أَبْنَاءَ ثَلاثٍ وَثَلاثِينَ ، عَلَى خَلْقِ آدَمَ سِتُّونَ ذِرَاعًا فِي عَرْضِ سَبْعِ أَذْرُعٍ

"Akan masuk ahli syurga ke dalam syurga dalam keadaan tanpa berpakaian, belum berjanggut, putih, berkerinting, serta bercelak mata. 'Umur mereka antara tiga puluh tiga tahun, sama seperti penciptaan Adam (dahulu) tingginya enam puluh dira' dan besarnya tujuh dira".

[Hadits Marfu' riwayat Ahmad no: 7933, 13/315]


RUJUK: islamweb

SUMBER: Kenikmatan Syurga, halaman 26

DOWNLOAD LINK: islamhouse


WALLAHU a'lam.

Masyarakat Tidak Mungkin Menjadi Baik Melainkan Dengan Ke’adilan

Credit


Disebutkan di dalam kitab "al-Bidayah w-an-Nihayah" oleh al-Imam Ibnu Katsir (رحمه الله), di dalam jilid 10, halaman 126, ketika beliau menjelaskan biografinya Khalifah al-‘Abbas ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Ali Abu Ja'far al-Manshur (رحمه الله), di mana beliau pernah mengatakan kepada anaknya, al-Mahdi:


"Sesungguhnya khalifah tidak layak disandang kecuali oleh orang yang bertaqwa, kepimpinan tidak layak dipegang melainkan bagi orang yang ta'at kepada Allah, & (ingatlah) masyarakat tidak akan menjadi baik melainkan jika (mereka) diperlakukan dengan ‘adil.


(Sedang) manusia yang terbaik adalah orang yang suka memberi ma'af ketika dirinya mampu untuk memberi hukuman kepadanya, dan manusia yang paling sedikit ‘aqalnya adalah orang yang menzalimi orang lain yang (berada) di bawah kekuasaannya.

Wahai anakku, sentiasa iringi sebuah ni’mat dengan rasa syukur, sertai kekuatan dengan senang memberi ma'af (kepada orang lain), keta’atan dengan lemah lembut, dan ikuti kemenangan dengan rendah diri dan menyayangi orang lain, (juga) jangan lupa (untuk mengambil) bagianmu di dunia serta bagianmu dari rahmat-Nya Allah ‘azza wa jalla."


SUMBER: Mutiara Salaf (أقوال وحكم خالدة من أفواه السلف الصالح), halaman 9-10

DOWNLOAD LINK: click here


p/s: Perkataan-perkataan di dalam kurungan adalah tambahan dari saya untuk memudahkan pemahaman, insya Allah.


WALLAHU a'lam.

Kedudukan Tangan Ketika I’tidal

Credit


PENULIS: As-Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin (رحمه الله)


SOALAN: Bagaimanakah kedudukan tangan ketika i’tidal, (iaitu) setelah bangkit dari ruku’? Adakah kita perlu meluruskan kedua-dua tangan, atau meletakkannya di dada seperti yang dilakukan sebelum ruku’?


JAWAPAN:


Dari Sahl bin Sa’ad as-Sa’idi (رضي الله عنه), dia berkata,

كَانَ النَّاسُ يُؤْمَرُونَ أَنْ يَضَعَ الرَّجُلُ الْيَدَ الْيُمْنَى عَلَى ذِرَاعِهِ الْيُسْرَى فِي الصَّلاَةِ

“Dulu, orang-orang diperintahkan agar meletakkan tangan kanan di atas lengan kiri di dalam solat”.

[HR al-Bukhari, Kitab Azan, Bab Meletakkan Tangan Kanan Di Atas Tangan Kiri Di Dalam Solat, no. 698]


Penyataan “di dalam solat” mencakupi seluruh bahagian solat. Akan tetapi, sudah maklum bahawa posisi ruku’ tidak termasuk di dalamnya kerana kedua-dua tangan berada di atas kedua-dua lutut. Kemudian, (begitu juga dengan) posisi sujud kerana kedua-dua tangan berada di atas tanah. Dan (begitu juga dengan) posisi duduk kerana kedua-dua tangan berada di atas kedua-dua paha.


Yang tersisa adalah posisi berdiri yang ada sebelum ruku’ dan sesudahnya (ruku’). Maka, posisi berdiri ini masuk ke dalam sifat ‘umum (iaitu semua jenis berdiri baik sebelum atau selepas ruku’).


Hanya saja al-Imam Ahmad bin Hanbal (رحمه الله) berkata, “Ketika seseorang bangkit dari ruku’, dia mempunyai pilihan antara membebaskan kedua-dua tangannya (ertinya meluruskan kedua-dua tangan di sisi) atau meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri”. Sepertinya, al-Imam Ahmad ragu-ragu sama ada hadits riwayat Sahl (رضي الله عنه) itu mencakupi (semua posisi berdiri di dalam) seluruh bahagian solat selain yang dikecualikan (iaitu ketika ruku’, sujud dan duduk antara dua sujud), atau hanya untuk posisi berdiri sebelum ruku’.


Apabila kita mengkhususkan hanya untuk posisi berdiri sebelum ruku’, maka ada syubhat (keraguan) yang timbul (iaitu) bagaimana mungkin pengecualian lebih banyak dari keseluruhan (iaitu yang dikecualikan dan yang tidak dikecualikan)?


Sekarang, kita mengecualikan ruku’, sujud dan duduk dari ke’umuman sabda Nabi (صلى الله عليه وسلم), “di dalam solat”. Sedangkan pada ‘umumnya, pengecualian (sepatutnya) lebih sedikit dari keseluruhan. Bahkan, tidak dibenarkan pengecualian jika jumlahnya lebih banyak dari keseluruhan.


Misalnya, mereka menyatakan bahawa seseorang berkata kepada orang lain, “Saya mempunyai hutang kepadanya sebanyak sepuluh (dirham) kecuali tujuh (dirham)”. Maka, (dalam situasi ini), orang itu wajib membayar sepuluh (dirham) kerana pengecualian tersebut tidak sah.


(Sepatutnya), jika pengecualian lebih banyak dari jumlahnya, maka cukup disebutkan pengecualian itu saja. (Sepatutnya,) katakana (saja), “Saya mempunyai hutang tiga dirham kepadanya”. Jika anda mengatakan “sepuluh (dirham) kecuali tujuh (dirham)", maka (ungkapan itu) menjadi terbalik (tak sesuai).


Walau bagaimanapun, kesimpulan yang dapat saya ambil (dalam hal ini), sesuai dengan yang kita ‘amalkan dan yang di’amalkan syaikh-syaikh kita (رحمهم الله) bahawa posisi (tangan ketika) berdiri setelah ruku’ sama seperti sebelum ruku’.


Kecuali Syaikh ‘Abdu-r-Rahman as-Sa’di (رحمه الله), dalam hal ini, dia mengikut keterangan dari al-Imam Ahmad, dan mengatakan, “(Ketika berdiri selepas ruku’,) seseorang mempunyai pilihan antara meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri, atau membebaskan kedua-duanya (iaitu meluruskan kedua-dua tangan di sisi)”. Dan saya melihat dia sering membebaskan kedua-dua (tangan)nya (ke sisi).


RUJUKAN: Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin, Sifat Solat Nabi (صلى الله عليه وسلم) Dari Takbir Hingga Salam: Perbahasan Dari Kitab Fath Dzi-l-Jalal w-al-Ikram Syarah Bulughul Muram, Cetakan Ketiga (Disember, 2012), Terbitan Darus Sunnah, halaman 17-18.


Saya kongsi petikan kitab ini BUKAN kerana mahu orang lain mengikut pandangan beliau dalam isu ini. Sebaliknya, tujuan utama saya kongsi petikan kitab ini adalah kerana:

(1) saya suka dengan “style” (qa’edah) & penjelasan Syaikh Ibnu-l-Utsaimin di dalam kitab ini (begitu juga di dalam kitab-kitab beliau yang lain) yang sangat jelas, kritis, juga lembut & beralas kritikannya sesuai dengan keelokan pekerti & penghormatan tinggi beliau terhadap generasi Salafu Soleh & ‘ulama’ Salafiah & terdahulu;

(2) saya mahu menggalakan orang lain supaya mendapatkan kitab ini & meluaskan pemahaman kita terhadap perbezaan pendapat agar tak cepat melatah dan menghukum orang lain sebagai sesat hanya kerana perbezaan mereka dalam solat (walhal, masing-masing berasaskan dalil-dalil yang sahih, insya Allah)

(3) sebagai muhasabah buat golongan yang semberono membuat tuduhan palsu bahawa ‘ulama’ Arab Saudi adalah anti-mazhab, kerana ternyata, mereka sentiasa menjadikan kitab-kitab ‘ulama’ Salafiah & fatwa-fatwa generasi Salafu Soleh, termasuk imam-imam mazhab (lebih-lebih lagi al-Imam Ahmad bin Hanbal kerana secara ‘umumnya, mereka bermazhab Hanbali).


p/s: Soalan & perkataan-perkataan di dalam kurungan adalah tambahan dari saya.


WALLAHU a’lam.