Thursday, 9 May 2013

Syarat Sah Takbir Di Dalam Solat

Credit

PENULIS: asy-Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin

Ada beberapa syarat takbir yang mana ia tidak sah kecuali dengan syarat-syarat tersebut:

(1) Menggunakan lafaz yang disebut di atas (iaitu “Allahu Akbar”)

(2) Secara berturut-turut antara dua perkataan tersebut, “Allahu Akbar”. Jika anda mengucapkan “al-Akbar Allahu”, maka ia tidak sah, kerana lafaz-lafaz zikir bersifat tauqifi (terhenti setakat mana yang diperintahkan Allah; atau dengan kata lain, tidak boleh direka-reka sendiri atau diubahsuai mengikut selera hati).

(3) Tidak memanjangkan huruf “hamzah”, baik pada perkataan pertama, mahupun pada perkataan kedua. Jika seseorang mengucapkan “Aaallahu Akbar”, maka takbirnya tidak sah, kerana kalimat tersebut berubah menjadi kalimat tanya, “Adakah Allah Maha Besar?” Sama seperti firman Allah ta’ala:

آللَّهُ خَيْرٌ أَمَّا يُشْرِكُونَ

“…Adakah Allah yang lebih baik, atau apa yang mereka sekutukan (dengan Allah itu yang lebih baik)?” 
[an-Naml:59]

Jika ia mengucapkan “Allahu aakbar”, juga tidak sah kerana ia berubah menjadi kalimat tanya, “Allah itu, adakah Dia Maha Besar?”


(4) Tidak memanjangkan huruf “ba’”, iaitu membacanya dengan “Allahu Akbaar”. ‘Ulama’ berkata, “Kerana perkataan ‘akbaar’ adalah bentuk jama’ (plural) dari perkataan ‘kabar’ (gendang besar), sama seperti perkataan ‘asbaab’ yang merupakan bentuk jama’ dari perkataan ‘sabab’ (sebab)”.


(5) Sekarang, timbul persoalan bagaimana jika seseorang membaca “Allaaahu Akbar” dengan memanjangkan huruf “lam” seperti yang dilakukan oleh sebahagian muazzin (bilal); adakah takbir itu sah atau tidak? Secara zahir, takbir tersebut sah, tetapi salah dari segi tajwid.


(6) Manakala jika dibaca “Allahu wakbar”; mengganti huruf “hamzah” dengan huruf “waw” seperti yang dilakukan oleh kebanyakan manusia, takbir tersebut sah, kerana mengganti huruf “hamzah” dengan huruf “waw”, jika hamzah tersebut terletak setelah huruf berharakat dhammah, ianya diperbolehkan di dalam Bahasa ‘Arab. Hanya saja membaca dengan huruf “hamzah” lebih utama dan lebih baik.


SUMBER: asy-Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin, Sifat Solat Nabi (s.a.w.) Dari Takbir Hingga Salam: Perbahasan dari Kitab Fathi Dzi-l-Jalali w-al-Ikram Syarah Bulughul Maram, terbitan Darus Sunnah (cetakan ketiga), halaman 31-32


p/s: Perkataan-perkataan di dalam kurungan adalah tambahan dari saya untuk memudahkan pemahaman, insya Allah.


WALLAHU a’lam.